HULU TERENGGANU – Tiga pekerja projek ternakan ikan sangkar di Sungai Como, Tasik Kenyir di sini berdepan detik cemas apabila rumah rakit didiami mereka dilanda ribut malam tadi.
Kejadian pada pukul 11.30 malam itu menyebabkan sebuah rumah rakit yang beroperasi hampir 10 tahun mengalami kerosakan teruk selain kemusnahan pada tiga sangkar ikan tilapia dan patin.
Ketua pekerja, Wan Mohd Faizal Wan Ahmad, 28, berkata, sewaktu kejadian ribut tersebut, dia dan dua lagi rakan sekerja sedang berehat di dalam rumah bot berkenaan.
“Pada mulanya hujan renyai sebelum kedengaran bunyi angin kuat dan kemudian, rumah bot kami dipukul ribut.
“Demi keselamatan diri, kami melompat masuk menaiki bot laju menuju ke kawasan yang lebih selamat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Wan Mohd Faizal berkata, mereka hanya pulang ke rumah bot berkenaan selepas ribut reda kira-kira 10 minit kemudian.
Tambahnya, sebahagian besar rumah bot yang mempunyai enam bilik dijadikan pejabat, stor, rumah pekerja dan pelawat rosak teruk akibat ribut.
“Ribut memang sering melanda kawasan Sungai Como di Tasik Kenyir ini, tetapi belum pernah menyebabkan kerosakan pada rumah bot yang menjadi lokasi pekerja ternakan ikan bermalam.
“Kerugian yang dialami termasuk kemusnahan tiga sangkar ikan patin dan tilapia dianggarkan kira-kira RM35,000,” katanya. – KOSMO! ONLINE