fbpx

PRM umum tanding di kerusi Parlimen, DUN di Pulau Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Yee Cheu (kiri) dalam sidang akhbar mengenai isu-isu politik negara di Permatang Damar Laut, Batu Maung, di sini hari ini.

GEORGE TOWN – Parti Rakyat Malaysia (PRM) bakal bertanding di lima kerusi Parlimen dan 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.

Ketua PRM negeri, Teh Yee Cheu berkata, lima kerusi Parlimen berkenaan adalah Bukit Bendera, Jelutong, Bayan Baru, Batu Kawan dan Nibong Tebal manakala kerusi DUN yang bakal ditandingi pula adalah di kawasan lima Parlimen berkenaan.

“Saya sendiri akan bertanding di Parlimen Bukit Bendera dan DUN Air Putih.

“Parti PRM adalah satu parti bebas yang tidak bergabung dengan mana-mana parti yang sedia ada, jadi kami berharap pengundii akan memberi peluang kepada kami untuk membuat perubahan pada politik Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar di Batu Maung, di sini hari ini.

Pada PRU-14 lalu, PRM bertanding di empat kerusi Parlimen dan 18 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang namun kesemua calon mereka tewas ketika itu.

Menurutnya, calon-calon yang bakal mewakili PRM untuk bertanding juga telah dikenal pasti namun ia masih belum dimuktamadkan sehingga tarikh PRU-15.

“Calon-calon kami terdiri daripada mereka yang mempunyai pengalaman, matang, dan bebas daripada unsur-unsur rasuah.

“PRM yang ditubuhkan sejak 60 tahun lalu mempunyai ahli yang mahir dalam selok-belok politik negara ini dan kami mahu berkhidmat kepada rakyat sekiranya dipilih nanti,” katanya.

Tambahnya, situasi politik negara yang kini dicemari dengan rasuah menyebabkan parti itu meletakkan calon pada PRU-15 kerana mahu membersihkannya daripada sebarang salah laku rasuah. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI