SEKALIPUN gagal membawa pulang Piala Raja ke Malaysia, peminat bola sepak tempatan dilihat gembira dan berpuas hati dengan transformasi yang dibawa ketua jurulatih berasal dari Korea Selatan, Kim Pan Gon ke atas Harimau Malaya.
Dua keputusan yang dicatatkan sepanjang penyertaan Piala Raja edisi ke-48 kali ini kembali membuktikan Harimau Malaya sudah bersedia untuk menentang lawan yang berada di ranking lebih baik.
Selain sokongan peminat, kekuatan mental dan semangat juang juga menjadi resipi kepada Pan Gon.
Jurulatih itu dapat rasakan yang pasukan kali ini mampu memberikan cabaran lebih baik pada tugasan akan datang.
“Kami telah menjangkakan ia akan menjadi perlawanan yang sukar kerana Tajikistan menduduki ranking ke-109 dunia dan mereka memiliki kualiti dari segi fizikal pemain. Hujan juga membuatkan kami berdepan kesukaran untuk bermain seperti kebiasaan.
“Pemain sudah pun beraksi dengan baik dan daripada pemerhatian saya, mereka memiliki kekuatan mental. Pemain juga memiliki semangat yang cukup tinggi. Saya bangga dengan apa yang mereka tunjukkan.
“Tiada ada apa yang perlu disesalkan kerana kami sudah berikan yang terbaik. Sudah pasti kami akan membuat penilaian bagi melakukan persiapan bagi menghadapi Piala AFF nanti,” katanya.
Sebelum itu, Malaysia menamatkan 90 minit dengan keputusan 1-1 dengan Thailand, namun berjaya mengatasi tuan rumah dengan keputusan 5-3 pada penentuan penalti.
Namun hajat besar untuk menamatkan penantian 44 tahun di kejohanan itu gagal selepas tunduk 3-0 kepada Tajikistan, juga menerusi sepakan penalti.
Dengan hasil yang diraih pasukan itu sejak di bawah kendaliannya, Pan Gon tetap menagih sokongan daripada semua pihak kerana percaya Harimau Malaya miliki potensi untuk catat keputusan baik pada masa akan datang. Ia khususnya ketika menentang lawan di ranking lebih tinggi.
“Daripada apa yang kami ada, mereka memiliki sesuatu yang lebih baik dan saya harapkan lebih baik lagi daripada ini. Berdasarkan penyertaan kali ini juga, kami dapat sesuatu yang positif.
“Kami sebenarnya mampu bersaing dengan pasukan di tahap lebih tinggi. Kami perlukan sokongan daripada penyokong, kelab dan pemegang taruh,” katanya.