MELAKA – Melaka menyasarkan sebanyak 30,000 buah kediaman di negeri ini akan beralih kepada teknologi Grid Pintar yang membolehkan pengguna menguruskan penggunaan tenaga elektrik dengan lebih berhemah.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Teknologi negeri, Datuk Rais Yasin berkata, Grid Pintar merupakan teknologi baharu di bawah Program Pembangunan Bandar Mampan yang memfokuskan kepada pengurangan pelepasan gas rumah hijau.
Katanya, sehingga kini sebanyak 40 buah rumah telah memanfaatkan kemudahan teknologi itu untuk menguruskan penggunaan harian tenaga elektrik.
“Semua yang mempunyai meter pintar boleh menggunakan teknologi ini secara percuma melalui aplikasi bagi memantau dan menguruskan penggunaan harian tenaga elektrik dengan lebih efisien.
“Sebagai permulaan, kita menyasarkan sebanyak 30,000 buah rumah akan beralih kepada teknologi Grid Pintar ini dalam tempoh setahun iaitu sehingga 2023,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Dan Sesi Perkongsian Melaka Smart Grid Technology Summit 2022 di Hotel LaCrista, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, Melaka juga merupakan salah sebuah daripada 28 buah bandar daripada 11 negara yang telah dipilih untuk melaksanakan projek Grid Pintar.
“Projek ini percuma kerana ia telah dibiayai sepenuhnya oleh Global Environment Facilities (GEF) dan satu-satunya projek demonstrasi grid pintar yang sedang giat dibangunkan di Malaysia dan juga di rantau Asia.
“Usaha ini seiring dengan strategi di dalam dokumen Smart Melaka Blueprint 2035, ia bukan sahaja demi pengurusan bil tenaga tetapi secara tidak langsung menjadikan Melaka sebuah negeri berteknologi hijau dan mewujudkan persekitaran lebih mampan,” katanya. – KOSMO! ONLINE