fbpx

Mahkamah: Saksi tidak tahu 10 senarai perbelanjaan kempen PRU-14

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syed Saddiq.

KUALA LUMPUR – Saksi pendakwaan ke-28 memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa beliau tidak mengetahui mengenai senarai perbelanjaan untuk kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) berjumlah RM171,675 yang telah dikemukakan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Nurul Hidayah Kamarudin, 33, yang juga Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ketika dipanggil semula untuk disoal balas oleh pasukan pembelaan berkata, beliau tidak tahu tentang 10 senarai perbelanjaan tersebut.

Kesemua 10 senarai perbelanjaan tersebut yang telah kemukakan kepada SPR ialah bayaran deposit calon (RM10,000), deposit bahan kempen (RM5,000), permit iklan pilihan raya (RM200), iklan pilihan raya (RM50), cenderahati PKR (RM51,784), kos penginapan (RM2,120), peredaran dan pengiklanan (RM29,100), percetakan (RM69,491), bahan fotostat (RM750) dan ‘button badge’ (RM3,180).

Bagaimanapun, Nurul Hidayah berkata, beliau tidak pasti sama ada Syed Saddiq telah mendahulukan wangnya sendiri berjumlah RM120,000 untuk kempen PRU14.

Semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asyraf Mohamed Tahir, saksi itu berkata Syed Saddiq tidak memaklumkan kepadanya berhubung pengisytiharan perbelanjaan untuk kempen PRU-14 kepada SPR semasa merakam percakapan Ahli Parlimen Muar itu.

Selain Nurul Hidayah, dua lagi pegawai penyiasat SPRM yang dipanggil semula untuk memberikan keterangan ialah Mohd. Syahmeizy Sulong dan Asbi Munip.

Pihak pendakwaan hari ini menutup kesnya selepas memanggil 30 saksi untuk memberi keterangan dan mahkamah menetapkan 6 dan 7 Oktober ini untuk pihak-pihak berhujah.

Syed Saddiq, 29, didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali, ketika itu Penolong Bendahari Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu, yang diamanahkan dana berjumlah RM1 juta, untuk melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini pada 6 Mac 2020.

Bagi pertuduhan kedua, Syed Saddiq didakwa menyalah guna RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise untuk diri sendiri dengan menyebabkan Rafiq Hakim melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 dan 21 April 2018.

Ahli Parlimen Muar itu juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang dipercayai merupakan hasil aktiviti haram, di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI