GERIK – Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabit nahas dengan sebuah lori muatan anak ayam di Kilometer 24.2, Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli di sini hari ini.
Mangsa, Nor Azelan Jaafar, 42, yang memandu kereta jenis Perodua Alza meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik, Mohd. Azizan Aziz berkata, maklumat kemalangan itu diterima pada pukul 3.36 petang dengan sepasukan 15 anggota digerakkan ke lokasi kejadian.
Katanya, nahas membabitkan kereta jenis Perodua Alza dipandu mangsa dengan sebuah lori tiga tan membawa muatan anak ayam.
“Kedua-dua kenderaan itu bertembung dengan pemandu kereta cedera parah dan disahkan maut di tempat kejadian oleh pasukan perubatan.
“Pemandu dan kelindan lori tidak cedera. Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE