SEGAMAT – Ketua Kampung Tungku Tiga melaungkan azan menggunakan alat pembesar suara kenderaan Jabatan Bomba Penyelamat Malaysia (JBPM) Bandar Baru dalam usaha mencari seorang warga emas, Ithnin Warsan yang hilang sejak minggu lalu.
Syed Jaafar Mohamad, 61, berkata, tindakannya itu merupakan sebahagian daripada usaha sebagai ketua kampung untuk mencari Ithnin, 79, yang sehingga kini gagal ditemui.
“Kita perlu berusaha tanpa putus asa, bertawakal kepada Allah SWT dan pasrah setiap perkara berlaku adalah atas kehendakNya.
“Saya cuma mampu berusaha dan apa saja yang berlaku kita wajib kena mohon bantuan Allah SWT selain pasrah,” katanya ditemui di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) di Kampung Tungku Tiga hari ini.
Sementara itu, cucu Ithnin, Azrul Iqmal Noor Azali, 23, tidak menolak kehilangan datuknya itu dikaitkan dengan makhluk halus.
Walaupun lokasi terakhir warga emas itu dilaporkan hilang di halaman rumahnya, namun kampung tersebut di kelilingi kebun sawit, belukar dan hutan simpan.
“Atuk (panggulan kepada Ithnin) tidak akan merayau tanpa memaklumkan kepada ahli keluarga terutamanya waktu Maghrib.
“Sebelum ini, saya ada mendengar cerita daripada orang kampung mengenai beberapa lokasi ‘keras’ di kampung yang ada kaitan kehilangan atuk (disembunyikan).
“Ada kumpulan pencari ternampak lembaga hitam bersaiz besar di belukar sekitar kampung ketika mengesan atuk, kelmarin.
“Berdasarkan cerita mulut ke mulut Itu, saya mahu atau tidak percaya beberapa kawasan belukar di belakang rumah atuk antara dikategorikan ‘keras’, ” katanya.
Azrul Iqmal berkata, datuknya suatu ketika dahulu banyak melakukan perkara disenangi penduduk antaranya bergotong-royong dan rewang kenduri menyebabkan dia begitu popular.
Kemungkinan ini juga menyebabkan dia turut ‘diminati’ makhluk di alam ghaib.
Selain berusaha mencari di merata tempat, ramai pengamal perubatan tradisional turut menawarkan bantuan mencari warga emas tersebut.
“Ada (pngamal perubatan tradisional) yang datangnya dari luar Johor, tetapi usaha mencari masih lagi menemui jalan buntu setelah atuk hilang hampir seminggu yang lalu,” katanya ketika ditemui hari ini. – KOSMO! ONLINE