fbpx

Korea Selatan hadapi kekurangan kimchi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HARGA kubis menyebabkan penjualan kimchi di Korea Selatan terjejas. – Getty/Cho Woo-hae

SEOUL – Rakyat Korea Selatan berdepan  lonjakan harga hidangan popular,  kimchi selepas cuaca panas melampau dan hujan lebat memusnahkan sebahagian besar tanaman kubis negara itu, lapor laman berita RT kelmarin.

Harga kubis yang digunakan untuk membuat kimchi jenis biasa meningkat lebih dua kali ganda tahun lalu dan melonjak  41 peratus sejak sebulan lalu kepada kira-kira 3,300 won (RM10.60) untuk satu kilogram, demikian menurut firma kendalian kerajaan, Agro-Fisheries & Food Trade Corp.

Harga lobak putih yang digunakan untuk satu lagi jenis kimci popular,  melonjak sehingga 141 peratus pada tahun lalu  kepada lebih 2,800 won (RM9) sekilogram.

Lonjakan harga itu berlaku ketika rakyat Korea Selatan dihimpit oleh kadar inflasi yang tinggi dalam sejarah menjelang musim pembuatan kimchi pada November ini.

“Setiap kali pergi membeli-belah, saya melihat harga sayur-sayuran meningkat,” kata penduduk Seoul, Hong Seong-Jin kepada agensi berita Arirang News.

Pengguna semakin mencari produk kimci buatan kilang setelah kos membuat makanan itu di rumah melambung tinggi.

Bagaimanapun, jumlah penghantaran produk kimchi ke beberapa pasar raya didapati menurun sekitar 50 peratus daripada paras biasa,  manakala bekalan yang dijual secara online dikatakan habis sepenuhnya, lapor saluran berita YTN News minggu lalu.

Pembuat kimchi utama termasuk syarikat Daesang dan CheilJedang turut menaikkan harga produk mereka sebanyak 10 hingga 11 peratus dengan lebih banyak kenaikan dijangka berlaku.

Ramai pengguna kini  berseloroh dengan merujuk kimchi sebagai ‘geumchi’ yang menunjukkan bahawa ia berharga sama seperti emas.

Restoran-restoran turut mengurangkan pemberian kimchi yang sering kali disertakan sebagai hidangan sampingan percuma. 

Sebagai contoh, seorang pengusaha restoran ayam di Seoul memberitahu YTN bahawa dia mengenakan bayaran 3,000 won (RM9.60) apabila pelanggan meminta hidangan kimchi yang kecil. Seketul kobis berharga tiga kali ganda berbanding harga ayam mentah, jelasnya. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI