fbpx

Konsert jubli perak justifikasi pengaruh Padi Reborn

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PADI REBORN akan menjayakan konsert di Zepp KL pada 3 Disember depan.

PETALING JAYA – Belum terlambat meraikan jubli perak hayat penubuhan, band popular Indonesia, Padi bakal menghangatkan malam minggu peminat di Malaysia menerusi konsert 25 Tahun Padi Reborn di Kuala Lumpur pada 3 Disember depan.

Pengasas dan pemain gitarnya, Piyu berkata, pemilihan tarikh tersebut dirasakan bersesuaian bagi meraikan musim-musim ‘harmoni’ dan kematangan Padi peminat setia mereka Sobatpadi dan penggemar muzik di Malaysia.

“Detik bermakna itu nanti bakal memberikan impak terhadap semua anggota kumpulan ini yang melalui perjalanan pahit manis dalam memperjuangkan muzik kami sepanjang hampir tiga dekad ini.

“Ini peluang yang menyuntik rasa teruja apatah lagi berkesempatan meraikan perjalanan dan ulang tahun jubli perak ke-25 di Malaysia.

PADI REBORN dianggotai Piyu, Fadly (vokalis), Ari (gitar), Rindra (bass) dan Yoyo (dram).

“Terima kasih kerana masih mahu berjalan harmoni dengan Padi Reborn hingga ke detik ini,” katanya.

Konsert 25 Tahun Padi Reborn dijadualkan berlangsung di Zepp Kuala Lumpur, bermula jam 8.30 malam.

Selain Piyu yang turut menghasilkan sebahagian besar lagu kumpulan itu, Padi Reborn turut dibarisi vokalis, Fadly, Ari (gitar), Rindra (bass) dan Yoyo (dram).

Kali terakhir band yang ditubuhkan sekitar 1990-an itu mengadakan konsert di Kuala Lumpur adalah pada 2018 dan kali ini Qew Communications Sdn Bhd sekali lagi membawakan Padi Reborn ke Malaysia.

Pengarah Qew Comm, Datin Rahizahwati Yahya turut meluahkan kesyukuran memandangkan selepas pandemik Covid-19 melanda dunia, hasrat tertunda ‘menerbangkan’ Padi Reborn kembali ke Malaysia akhirnya menjadi kenyataan.

“Kami percaya kembalinya Padi Reborn ke Kuala Lumpur bersempena ulang tahun ke-25 akan memberi justifikasi terhadap pengaruh band ini.

“Hakikatnya, mereka sentiasa berada dalam radar industri muzik sama ada di Indonesia mahu pun Malaysia hingga kemunculan mereka terus dinantikan,” katanya.

Terdahulu, sebelum menggunakan nama Padi Reborn, lima anak seni itu memulakan langkah awal dalam dunia hiburan dengan nama Padi sekitar tahun 1997.

Album Lain Dunia yang dipasarkan setahun kemudian meraih lebih 800,000 unit jualan hingga meletakkan band tersebut setara dengan kumpulan popular lain sekali gus dianggap antara band Terbaik Indonesia.

Dua tahun selepas Lain Dunia, Padi kembali dengan Sesuatu Yang Tertunda pada 2001 yang terjual sebanyak 1.6 juta unit dan meraih 10 kali platinum pada 2002.

Menyusul selepas itu adalah album Save My Soul sebelum mereka merealisasikan naskah lain di bawah judul Padi pada 2005 selain Tak Hanya Diam (2007).

Antara dendangan yang terus menjadi siulan adalah Mahadewi, Sesuatu Yang Tertunda, Menanti Sebuah Jawaban, Begitu Indah dan Kasih Tak Sampai.

Begitupun, sekitar 2010 mereka mengambil keputusan berehat dari yang mengambil masa selama tujuh tahun hingga akhirnya kembali dengan semangat baru menerusi Padi Reborn.

Penyatuan semula pada 2017 menyaksikan Padi Reborn mengeluarkan album baharu berjudul Indera Keenam yang turut menyelitkan beberapa lagu lama.

Mereka tidak berhenti melangkah, sebaliknya aktif melancarkan single, album baharu, video klip dan kolaborasi filem pendek, menjadi hos untuk program televisyen swasta hinggalah menciptakan lagu pendek.

Sementara itu, tiket konsert pada harga RM199 (CAT 1), RM169 (CAT 2), RM339 (CAT 3), RM269 (CAT 4) dan RM6,000 (VIP) akan mula dijual, esok (Rabu) mulai jam 11 pagi di https://www.ticket2u.com.my. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI