SABAK BERNAM – Kelong Paradise di perairan daerah ini bakal menjadi transit sementara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi operasi menyelamat dan mengawal
pencerobohan haram di laut.
Ia berikutan jarak transit maritim sedia ada di Pelabuhan Klang agak jauh iaitu kira-kira 61 batu nautika atau hampir dua jam perjalanan.
Pengerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor, Tan Sri Noh Omar berkata, cadangan itu diputuskan selepas mengambil kira pelbagai aduan nelayan tempatan di sekitar perairan utara negeri ini.
Kata beliau, transit atau ‘staging point’ itu bakal memudahkan operasi penyelamatan sekiranya nelayan berdepan situasi kecemasan seperti terkandas atau lemas.
“Selain itu, ia berupaya mengawal kemasukan pendatang asing yang masuk secara haram atau pencerobohan bot pukat tunda di kawasan zon larangan.
“Kita tidak menafikan APMM bertindak pantas, namun jarak lokasi agak jauh di Klang dan Kelong Paradise dicadang menjadi transit kerana lebih dekat,” katanya di sini.
Terdahulu beliau bersama Pengarah APMM Selangor, Kepten Maritim V. Siva Kumar dan Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk S. Sasikala Devi meninjau kelong itu.
Jelas Noh yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, beberapa penambahbaikan perlu dibuat sebelum transit itu dapat beroperasi sepenuhnya.
“Kelong itu perlu membuat pengubahsuaian tempat pendaratan dengan menyediakan kemudahan pontun (jeti terapung) bagi memudahkan bot ditambat di kawasan kelong.
“Kebanyakan bot Maritim diperbuat daripada fiber dan boleh menyebabkan kerosakan pada permukaan bot jika bergesel dengan tangga penambat bot sedia ada,” ujarnya.
Tambah Noh, pihaknya akan mengusulkan cadangan itu secepat mungkin kepada kerajaan dan turut menjadi isu utama dalam perbincangan MKN Selangor.
Sementara itu, Siva Kumar berkata, sepasukan enam anggota dan dua bot kebiasaannya akan ditempatkan di sesebuah transit sementara.
“Penyediaan pontun diperlukan bagi memudahkan kapal atau bot untuk merapat dan keluar dari kawasan perairan tersebut.
“Transit tambahan itu bagaimanapun bergantung sepenuhnya kepada kelulusan dan kebenaran daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) kelak,” katanya. – KOSMO! ONLINE