PETALING JAYA – Hanya tinggal tiga bulan lebih sahaja lagi kita bakal melangkah ke tahun 2023 yang dijangkakan lebih mencabar, jika dibandingkan pada tahun ini.
Bagi ibu bapa yang anaknya bakal memasuki alam persekolahan, pastinya persiapan lengkap barang-barang sekolah perlu disiapkan terlebih dahulu.
Satu perkongsian di media sosial Facebook Zura Fauzura yang berkongsi kalendar 2023 menjelaskan, paling mendebarkan pada tahun hadapan adalah dua perbelanjaan yang bakal bertembung iaitu perbelanjaan buka sekolah serta hari raya.
Kedua-dua persediaan tersebut hanya selang sebulan sahaja di mana buka sekolah pada bulan Mac, manakala sambutan hari raya pada bulan April.
“Bagi mengelakkan perbelanjaan besar dan mengejut, ibu bapa perlu melakukan persediaan awal sejak akhir tahun ini lagi.
“Buat persedian sedikit demi sedikit, paling penting adalah persediaan persekolahan anak-anak, jika ada tiga orang anak maka lagi besar perbelanjaan kita nanti,” tulisnya.
Perkongsian tersebut turut mendapat maklum balas dari penggunan media sosial lain, mereka juga bersetuju bahawa pertembungan tersebut bakal menjadikan belanja semakin besar pada tahun hadapan.
“Untuk anak memang kita akan sediakan apa sahaja, walaupun secara berjimat, perbelanjaan akan turut besar juga, saya setuju untuk buat persediaan awal,” kata Malisa Marhaini.
“Sepatutnya persediaan sudah bermula sedikit demi sedikit, perbelanjaan sekolah memang banyak kalau seorang anak mungkin ok lagi, tapi kalau bertiga lebih memeritkan,” Fazlisham Husin. – KOSMO! ONLINE.