fbpx

Empat beranak hilang rumah, empat kenderaan dalam kebakaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan rumah dan kereta milik mangsa yang hangus dalam kebakaran di Taman Angkasa Nuri, Melaka lewat pagi tadi.

ALOR GAJAH – Empat beranak kini tinggal sehelai sepinggang selepas rumah dan empat buah kenderaan termasuk sebuah kereta mewah musnah dalam kebakaran di Taman Angkasa Nuri di sini, lewat pagi tadi.

Menurut mangsa, Liliwati Kaharudin, 50, kejadian berlaku kira-kira pukul 1.40 pagi ketika dia dan anak perempuannya berusia 15 tahun sedang nyenyak tidur, manakala dua lagi masih berjaga kerana melakukan kerja.

Ujarnya, kebakaran itu disedari oleh anak perempuannya berusia 20 tahun yang terbau asap dan mendapati api mula merebak dari bahagian belakang pendingin hawa di tingkat bawah rumah.

“Dia terus menjerit bagitahu ada api, saya yang tidur di tingkat bawah terjaga dan keluar memeriksa keadaan.

“Anak sulung berusia 23 tahun pula menjerit memanggil adik bongsunya yang sedang tidur di bilik atas dari bawah dan kami empat beranak berlari menyelamatkan diri sebelum api semakin marak,” katanya ketika ditemui di taman itu, hari ini.

Tambahnya, kebakaran itu turut memusnahkan empat buah kenderaan milik keluarganya iaitu Honda Civic, BMW 3 Siri dan skuter Yamaha NVX 155 yang terbakar 100 peratus, manakala Honda HRV terbakar 15 peratus.

“Saya cuba nak selamatkan sebuah daripada kereta sebelum api marak ke bahagian hadapan, namun tingkap kenderaan itu tiba-tiba meletup membuatkan saya jadi takut dan membatalkan hasrat.

“Jiran-jiran cuba membantu memadam kebakaran, namun tidak berjaya kerana bahagian bawah rumah telah terbakar hampir 80 peratus,” katanya yang bekerja dalam sektor swasta.

Sementara itu, Pegawai Kanan Penguasa Bomba Kanan Zahrul Azha Mokthar berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 1.45 pagi dan 10 anggota dikejarkan ke lokasi.

“Setiba di lokasi kita dapati sebuah rumah dua tingkat berkeluasan 22 kali 70 kaki persegi telah terbakar dan kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 2.58 pagi,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI