GELANG PATAH – Seorang warga emas terpaksa melupakan sakit yang ditanggung selepas menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di perut, apabila terpaksa menyelamatkan barangan berharga ketika kediamannya di Kampung Baru di sini dinaiki air kelmarin.
Menurut Robiah Mohd. Akil, 62, hujan lebat sejak pukul 6 pagi itu menyaksikan air naik dengan cepat sehingga paras lutut dalam tempoh satu jam.
“Saya baharu sahaja menjalani pembedahan membuang ketumbuhan di perut di Hospital Sultan Ismail (HSI) bulan lalu.
“Dengan keadaan fizikal tidak mengizinkan, saya tetap cuba mengalihkan barang berharga ke tempat tinggi agar tidak rosak ditenggelami air sebelum bersama-sama menyelamatkan diri ke tempat lebih tinggi,” katanya.
Robiah dan suami Johari Abd Jalil, 68, antara 17 mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Serbaguna Gelang Patah di sini.
Hujan lebat dalam tempoh lima jam itu juga menyebabkan ramai penduduk di penempatan berkenaan tidak dapat menyelamatkan barang berharga.
Situasi itu dihadapi pengawal keselamatan, Basroen Adnan, 59, yang memberitahu, hampir 100 peratus perabot dan barangan elektrik di rumahnya rosak dalam kejadian banjir kilat itu.
“Kejadian dikatakan berpunca daripada pintu air yang rosak di Sungai Senapang berhampiran.
“Banjir kilat kali ini air telah naik sehingga paras dada, bagaimanalah keadaan kami ketika fenomena air pasang besar pada hujung bulan ini,” katanya.
Sementara itu, Tumiran Tumian, 46, meluahkan rasa sedih apabila kereta Perodua Kancil dan mesin basuh pelanggan tidak dapat diselamatkan dan ditenggelami banjir.
Katanya, ketika kejadian berlaku, dia sedang bekerja di kilang sebelum dihubungi isterinya memaklumkan rumah mereka sudah dinaiki air.
“Hampir semua perabot dan barang elektrik tidak sempat diselamatkan dan ini banjir terburuk sejak tiga tahun lalu,” katanya yang mengambil upah membaiki mesin basuh.