PETALING JAYA – Sedar tidak semua khalayak dapat menerima penampilan gaya rambut dreadlocks yang sinonim dengannya, penyanyi Tom nekad menukar gaya tersebut bermula minggu ketiga Gegar Vaganza (GV).
Tom berkata, keputusan tersebut dilakukan demi membuktikan keseriusannya untuk kembali aktif dan mencari rezeki dalam arus muzik perdana yang telah lama ditinggalkan.
“Jujur hati sebenarnya berat hati nak tinggalkan imej dreadlocks ini. Tetapi untuk GV, saya kena tukar penampilan.
“Bukan semua orang boleh terima imej yang sinonim dengan saya ini. Demi buat ‘comeback’, saya sanggup,” katanya yang mengakui sedih terpaksa mengubah imej yang diperagakan sejak 2007 itu.
Pada masa sama, Tom atau nama sebenarnya Raja Farah Afzal Raja Ikram mengakui sudah serik dan tidak sanggup lagi berulang kali mengharungi proses mengikat dreadlocks yang menyakitkan.
“Ini mungkin yang terakhir dan tak akan buat dreadlocks lagi. Benda tu sakit. Kali ini saya memang akan buka terus.
“Kalau dah buka nanti tak tahu macam mana rupanya. Saya tak akan tunjuk sesiapa melainkan pada minggu ketiga nanti,” katanya yang sudah tiga kali memasang dan membuka ikatan rambut tersebut dengan kos anggaran mencecah RM1,000.
Tom turut menjanjikan penampilan berbeza dengan gaya rambut baharu menjelang konsert minggu ketiga GV9 Ahad ini.
Lebih menarik, dia juga tidak sabar untuk bergoyang menyampaikan lagu Goyang Inul nyanyian asal Inul Daratista pada konsert itu nanti.
Selain mengorbankan rambut dreadlocks kesayangan, sebelum ini ibu tunggal dua anak itu juga mengakui menyesali tindakannya mencacah tatu pada badannya.
Mengakui tatu sesuatu yang sensitif, Tom juga berhasrat mahu membuang tatu tersebut suatu hari nanti. – KOSMO! ONLINE