fbpx

Bila yang ditonjol jati diri sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Dalam hidup ini, sudah berjebah nasihat kita dengar. Kalau berniaga dinasihatkan untuk tawarkan suatu yang unik selaras prinsip Unique Selling Point (USP), jika melancong diingatkan beli buah tangan yang tiada dalam negara dan di lapangan motivasi pula, jadi diri sendiri kerana tiada serupa kita di dunia.

Sedar atau tidak, sebenarnya menjadi suatu yang unik dan lain daripada yang lain itu adalah ‘kunci’ bagi banyak perkara. Apatah lagi, kalau suatu hal yang unik itu hanya kita yang ada. Cuma masalahnya, kita tetap degil mengagungkan apa yang orang lain ada walhal hakikatnya apa yang kita milikilah begitu berharga memandangkan hanya kita dianugerahkannya.

Sebagai kaum Melayu atau rakyat Malaysia, kita perlu sedar sebenarnya jati diri yang kita milikilah keunikan kita. Bahasa Melayu dan budaya Melayu adalah milik kita dan menjadi tanggungjawab kita untuk berbangga, mempertahan serta menonjolkannya. Di situlah dunia tertarik dan menyedari keunikan Malaysia.

Andai hanya meniru lagak orang lain, kita akan terlihat sama. Itulah kunci bagaimana bangsa seperti Jepun dan Thailand dilihat sebagai bangsa beridentiti tersendiri di mata dunia. Biar globalisasi melanda, bahasa ibunda dan budaya masing-masing tetap diutama.

Sebab itu apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mencipta sejarah sebagai pemimpin tertinggi Malaysia pertama berucap menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, Amerika Syarikat baru-baru ini, ia sepatutnya dilihat sebagai langkah terpuji oleh seluruh rakyat Malaysia.

Tampil berbaju Melayu hitam dan bersongkok, bahasa Melayu yang diucapkan Perdana Menteri berkumandang di pentas berprestij PBB dan didengari di seluruh dunia.

Biarpun pengucapan itu disusuli perterjemahan bahasa Inggeris, penulis hairan apabila ada netizen di ruangan-ruangan komen atau media sosial yang masih mempersoalkan tindakan tersebut membuatkan mesej tidak dapat sampai ke seluruh dunia.

Sebagai rakyat Malaysia, bagi penulis, pada asasnya, kita seharusnya menanam mentaliti tegas bahawa ‘bahasa Melayu bahasa kita, jika dunia mahu memahaminya, pandai-pandailah mereka memikirkan cara memahaminya’. Lagipun, kini sudah banyak khidmat dan kemudahan penterjemahan bahasa. Tidaklah sesukar mana untuk sesiapapun memahami bahasa.

Ketika orang Jepun atau Thailand tetap bercakap dengan bahasa mereka di pentas dunia, adakah mereka memikirkan khalayak faham atau tidak? Mereka sebaliknya, tegar mempertahankan identiti bangsa.

Kalau di pendengaran kita, bahasa seperi Korea atau Hindi sedap untuk didengar, tidak mustahil jika orang luar juga boleh tertarik apabila mendengar bahasa kita lalu jatuh cinta dan ingin mendalami bahasa Melayu yang pernah menjadi bahasa lingua franca bukan? Hanya pada lisan kitalah tergalas peranan untuk memperdengar dan memartabatkannya.

Dalam pada itu, di layar kaca, sejarah agam juga tercipta apabila filem berbahasa Melayu Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang juga sarat unsur budaya Melayu jadi popular di pelbagai negara.

Meski mendapat kritikan negatif oleh penonton-penonton tempatan tak bertauliah apabila ditayangkan di Netflix, filem itu mencipta pencapaian luar biasa apabila dilaporkan menduduki carta top 10 di hampir 20 buah negara seperti Singapura, Bahamas, Cyprus, Finland, Turkiye, Oman, Korea Selatan, Sweden, Romania, Arab Saudi, Peru, Filipina, Hong Kong, Portugal, Norway dan Greece.

Bahkan, mampu meraih kedudukan top 4 di Israel, Jamaica, Maghribi dan Nigeria.

Dari senarai negara-negara ini, ternyata ia telah melangkaui hampir semua rantau benua!

Seyogia diingatkan, sudah sampai masanya rakyat Malaysia sedar bahasa dan budaya Melayu itulah permata, sahmura dan lentera kita. Jika tidak kita yang menyalakan sinarnya, mana mungkin akan tergilap cahayanya dan orang lain dapat menyaksikan indah gemerlapnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI