fbpx

Amah curi, pajak barang kemas majikan ditahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

AMPANG JAYA – Pembantu rumah warga asing ditahan polis di sebuah hotel di Jalan Dagang di sini kelmarin, selepas dipercayai mencuri dan memajak barang kemas majikannya bernilai sekitar RM10,000.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, mangsa wanita tempatan berusia 63 tahun menyedari kehilangan barang kemasnya yang diletakkan di dalam almari pakaian sekitar pukul 5 Petang, Sabtu lalu.

Jelasnya, selepas menyoal pembantu rumah mangsa, suspek mengaku mengambil dan telah memajak barang kemas milik majikannya di sekitar Ampang.

“Suspek seterusnya menyerahkan tiga resit pajakan barang kemas disyaki milik pengadu dan berjanji akan membayarnya semula.

“Namun, kelmarin sekitar pukul 9 pagi, suspek mengambil peluang niat ehsan mangsa yang melepaskannya dengan melarikan diri menyebabkan mangsa kerugian anggaran sekitar RM10,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Mohamad Farouk, sepasukan polis membuat serbuan ke atas dua premis pajak gadai di Jalan Wawasan dan Jalan Ampang semalam sekitar pukul 10.30 pagi.

“Dalam dua tangkapan berasingan, polis menahan pengurus pajak gadai masing-masing berusia 33 tahun dan 32 tahun.

“Antara barangan yang dirampas adalah sepasang subang, dua utas rantai yang dipercayai milik pengadu yang digadai oleh suspek,” ujarnya

Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam serbuan asing pada hari yang sama sekitar pukul 3.45 petang, sepasukan polis telah berjaya menangkap wanita warga asing umur 41 tahun yang merupakan pembantu rumah mangsa.

“Ketiga-tiga tangkapan tiada rekod kesalahan lampau dan bebas daripada kesalahan dadah.

“Reman bermula hari ini terhadap dua suspek lelaki ditolak oleh mahkamah, manakala suspek perempuan ditahan reman selama empat hari hingga Jumaat ini,” ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan dan polis memberikan amaran serta nasihat kepada orang ramai supaya menggaji pekerja asing mengikut undang-undang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI