fbpx

30,000 Orang Asli Gua Musang bakal terima kemudahan telekomunikasi, internet

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Masyarakat Orang Asli di Gua Musang akan menerima kemudahan telekomunikasi yang lebih baik melalui pelaksanaan Jendela.

GUA MUSANG – Dianggarkan 30, 000 penduduk Orang Asli di kawasan pedalaman akan menerima manfaat kemudahan komunikasi bagi perkhidmatan jalur lebar menggunakan teknologi satelit di 21 lokasi perkampungan Orang Asli di daerah ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Ab. Aziz Yusoff berkata, kemudahan yang disediakan itu merupakan inisiatif pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela) Fasa Satu yang bermula dari tahun 2020 hingga 2022 khusus untuk Kelantan.

Katanya, ketika ini, sebanyak 21 menara komunikasi baharu dan pemasangan gentian optik berkelajuan tinggi di beberapa premis termasuk sekolah sedang dibina bagi menyediakan perkhidmatan jalur lebar mudah alih 4G.

“Kesemua inisiatif ini akan siap secara berperingkat menjelang tahun hadapan.

“Kita berharap dengan siapnya projek ini akan memberi Orang Asli kemudahan untuk berhubung kerana sejak berpuluh tahun lalu mengalami masalah perhubungan dengan kawasan luar,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, seorang penduduk Orang Asli Pos Pulat, Fauziah Ajis, 35, gembira dengan perkembangan tersebut.

Katanya, sejak berpuluh tahun lalu kampung mereka tidak mendapat talian dan liputan internet sepenuhnya.

“Saya akui capaian internet di kawasan kampung kami masih lemah kerana bukan semua kampung dapat menikmatinya.

“Kami tidak dapat mengakses internet ketika berada di rumah dan terpaksa keluar ke kawasan berbukit tertentu untuk mencari liputan,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan bersetuju meningkatkan jumlah pelaburan bagi menambah baik infrastruktur telekomunikasi di Kelantan daripada RM700 juta kepada lebih RM1 bilion.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, pelbagai inisiatif baharu telah ditambah menerusi Jendela di negeri berkenaan.

Katanya, Jendela di Kelantan telah ditambah dengan inisiatif baharu melalui pembinaan menara-menara baharu, perkhidmatan jalur lebar secara percuma kepada masyarakat Orang Asli menggunakan teknologi satelit dan juga pemasangan gentian optik berkelajuan tinggi di beberapa premis. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI