JAKARTA – Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) memaklumkan bahawa semua negara kini berada dalam keadaan sukar, manakala seramai 19,600 orang di dunia mati akibat kelaparan kerana krisis makanan, lapor saluran berita Liputan6 semalam.
“Saya baru sahaja mendapat angka bahawa 19,600 orang mati kelaparan pada setiap hari kerana krisis makanan di seluruh dunia,” kata Jokowi semasa menghadiri Perasmian Pembukaan Hari Permulaan Kementerian Badan Usaha Milik Negara (BUMN).
Susulan pertemuannya dengan Presiden Russia, Vladimir Putin dan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky beberapa bulan lalu, beliau menyimpulkan bahawa perang di Ukraine tidak akan segera berakhir.
Menurut beliau, keadaan itu akan mencetuskan krisis yang mengakibatkan beribu-ribu penduduk dunia meninggal dunia akibat kelaparan.
Bagaimanapun, beliau masih melihat peluang cerah untuk Indonesia. Ekonomi digital negara itu dikatakan berkembang pesat dan merekodkan paras tertinggi di Asia Tenggara.
Kadar pertumbuhan ekonomi digital Indonesia dijangka melonjak lapan kali ganda dari tahun 2020 sebanyak 632 trilion rupiah (RM192.08 bilion) kepada 4,531 trilion rupiah (RM1.38 trilion) pada 2030.
Tambah Jokowi, pengguna internet di Indonesia mencapai 77 peratus dengan penggunaan kira-kira 8 jam 36 minit pada setiap hari.
Katanya, syarikat pemula di Indonesia berada di kedudukan keenam dunia selepas Amerika Syarikat, India, Britain, Kanada dan Australia. – Agensi