fbpx

Tak suka ‘RSVP’ untuk hadir majlis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

RAMAI orang berkata, perancangan last minute atau pada saat akhir selalunya akan menjadi, malah ia lebih meriah daripada apa yang dirancang lebih awal.

Masyarakat tidak suka membuat perancangan awal kerana mereka bimbang sekiranya ada kekangan sakit pening, hal-hal kecemasan yang mengundang masalah sebaik tibanya hari yang dinantikan itu.

Masalah bajet juga menjadi faktor utama dalam hal merancang majlis atau percutian, tetapi buat mereka yang sudah menabung dari awal maka tiada kekangan untuk difikirkan lagi.

Namun, sudah menjadi hakikat bahawa percutian dan balik ke kampung adalah satu kegembiraan buat semua sedangkan baki di tangan hanya cukup-cukup makan sehingga tarikh gaji bulan seterusnya.

Musim cuti sekolah hujung tahun ini bakal disambut tidak lama lagi dan pastinya sudah ramai yang membuat perancangan awal untuk menghabiskan cuti tahunan bersama keluarga atau rakan mengikut cara sendiri serta bajet masing-masing.

Untung jika merancang program percutian lebih awal kerana harga tempahan homestay atau hotel termasuk yang bertaraf lima bintang dapat dinikmati pada harga tawaran yang lebih murah berbanding harga di saat akhir yang akan bertambah sehingga tiga kali ganda.

Tetapi sebenarnya tabiat orang Malaysia, agak lemah dalam membuat perancangan awal sehingga ada yang sanggup mempertaruhkan sejumlah wang yang besar untuk merealisasikan program percutian pada saat akhir.

Bukan sahaja percutian menjadi isu, masyarakat di negara ini juga kurang gemar membuat pengesahan kehadiran untuk mana-mana majlis yang dijemput khususnya majlis perkahwinan, kenduri pertunangan, majlis doa selamat dan juga sambutan hari jadi.

Memandangkan jemputan kini dihantar secara maya dan mudah untuk membuat pengesahan kehadiran dengan menekan pautan di kad jemputan yang diberikan tetapi cuma ada segelintir sahaja yang membuatnya.

Pengesahan kehadiran ini penting untuk membolehkan penganjur dan tuan rumah membuat kiraan bajet yang mencukupi khususnya tempahan makanan dan minuman bagi mengelak sebarang kerugian atau makanan tidak mencukupi.

Sikap ini sedikit sebanyak menyusahkan penganjur dan tuan rumah kerana masyarakat tidak menganggap ‘RSVP’ itu penting bagi menjayakan mana-mana majlis agar ia berjalan lancar mengikut bajet yang ditetapkan.

RSVP diambil daripada bahasa Perancis iaitu Rezpondese S’il Vous Plait atau secara ringkas, please reply agak janggal dalam kalangan masyarakat kita khususnya di luar bandar untuk memberi jawapan hadir atau tidak pada majlis yang dijemput.

Jika ia tidak ditangani dengan bijak, maka tabiat negatif ini akan terus merebak dari satu generasi hingga ke generasi akan datang.

Perancangan saat akhir adalah antara alasan besar untuk mereka tidak memberi pengesahan kehadiran, sehingga kita lupa, penganjur dan tuan rumah sangat berbesar hati sekiranya tetamu yang dijemput tampil hanya untuk bersalaman pada penghujung waktu program ketika kru katering sedang sibuk mengemas dan membasuh pinggan mangkuk. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI