PUTRAJAYA -Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenaan merasmikan Simposium Tekstil Tradisional ASEAN Ke-8 hari ini yang menghimpunkan lebih 300 penggiat seni tekstil, artisan dan penenun dari negara-negara anggota dan rantau lain.
Bertemakan ‘Celebrating Textiles: A Journey’, simposium itu yang dikendalikan Yayasan Tenun Pahang Diraja merupakan satu platform bagi membincangkan serta berkongsi maklumat mengenai isu berkaitan pemeliharaan dan kelestarian tekstil tenunan asli di rantau ini.
Dalam titah perasmian, Seri Paduka Baginda menzahirkan keterujaan majlis itu yang menjadi ‘buah hati’ Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah kerana seni kraftangan dan budaya amat dekat di hati baginda.
“Raja Permaisuri begitu sibuk dalam memastikan simposium ini berjaya dengan meletakkan seluruh tenaga dan usaha untuk menjayakan majlis ini.
“Beta diberitahu maklum balas daripada peserta amat luar biasa, lebih 300 penggiat seni tekstil hadir dan seramai 19 pembentang kertas kerja terlibat dari seluruh dunia,” titah baginda di sini hari ini.
Sebanyak 19 kertas kerja akan dibentangkan oleh 13 buah negara terlibat iaitu Brunei, Kemboja, India, Indonesia, Kanada, Laos, Filipina, Myanmar, Belanda, Singapura, Thailand, Vietnam dan Malaysia yang berlangsung selama enam hari bermula 25 hingga 30 September 2022 di Hotel Marriott Putrajaya.
Simposium yang dianjurkan dua tahun sekali ini turut menampilkan pameran tekstil termasuk koleksi tenun peribadi Tunku Azizah serta demonstrasi pembuatan kraf seperti Tenun Pahang Diraja, songket, siambitan Sabah, pua kumbu Sarawak, anyaman mengkuang, ukiran kayu serta jualan pelbagai kraf.
Simposium Tekstil Tradisional ASEAN bermula sejak tahun 2005 yang mana Indonesia merupakan penganjur pertama dan diteruskan lagi di Filipina pada 2009, Malaysia (2011), Vietnam (2013), Thailand (2015), Brunei (2017) dan kali terakhir di Indonesia (2019).
Yayasan Tenun Pahang Diraja ditubuhkan pada 29 September 2017 bertujuan memajukan Tenun Pahang Diraja sebagai perusahaan kraf warisan yang boleh meningkatkan taraf hidup rakyat dengan mewujudkan peluang pekerjaan untuk penggiat seni dan penenun.
Yayasan ini berada di bawah naungan Al-Sultan Abdullah, manakala Tunku Azizah merupakan Pengasas Bersama dan juga Penerusi bagi yayasan tersebut. -KOSMO! ONLINE