TAPAH – Pencemaran Sungai Labu dan Sungai Chikus di sini sejak dua hari lalu menyebabkan ribuan ikan ditemui mati oleh nelayan setempat.
Menurut seorang nelayan, Saiful Azam Mohd. Sapari, 36, pencemaran itu dipercayai berlaku akibat pembuangan sisa industri dari kawasan perindustrian yang terletak berdekatan sungai itu.
“Masalah ini menyebabkan banyak ikan mati sejak dua hari lalu, selain air sungai menjadi hitam dan berbau busuk. Ia menjejaskan pendapatan kami golongan nelayan.
“Diharapkan pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah ini dan mengelakkannya menjadi lebih teruk,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Saiful Azam berkata, antara hidupan sungai yang ditemui mati termasuklah ikan lampam, ikan baung, ikan tilapia, ikan putih dan udang galah.
“Kira-kira enam orang nelayan sungai di sini hilang sumber pendapatan kesan daripada pencemaran sungai ini. Mereka agak terkesan dengan masalah tersebut,” katanya.
“Masalah itu kerap berlaku terutamanya pada hari cuti am, seakan-akan memberi petanda bahawa kegiatan membuang sisa industri berlaku pada waktu tersebut,”ujarnya- KOSMO! ONLINE