JERANTUT – Kira-kira 12,000 orang usahawan bumiputera dalam kalangan belia dan siswazah mengikuti latihan dalam program Jom Jadi Perantis atau Jumper di bawah Perbadanan Usahawan Nasional Bhd. (PUNB) setakat ini.
Pengerusi PUNB, Datuk Ahmad Nazlan berkata, daripada jumlah itu, seramai 73 usahawan menerima manfaat pembiayaan melibatkan jumlah pembiayaan sebanyak RM5.45 juta.
“Bagi yang mahu memulakan perniagaan mereka perlu menjalani latihan berasaskan sistem mentor mentee dengan sebuah syarikat di bawah program keusahawanan dan menerima elaun sara diri sebanyak RM1,200 sebulan selama lapan bulan.
“Selepas tamat latihan perantis, belia terbabit perlu membuka perniagaan sendiri dalam tempoh enam bulan.
“PUNB sedia meluluskan pinjaman antara RM100,000 dan RM300,000 dalam tempoh yang cepat tertakluk kepada beberapa syarat,” katanya pada majlis penutupan sambutan Hari Belia Negara peringkat daerah di Kompleks Belia dan Sukan Daerah Jerantut di sini hari ini.
Menurut beliau, strategi PUNB menerusi Jumper ialah dengan mempergiatkan latihan keusahawanan yang menyasarkan golongan muda menimba pengalaman dalam perniagaan dan kemudiannya meneruskan membuka syarikat sendiri menerusi pinjaman daripada PUNB.- KOSMO! ONLINE