NUKUALOFA, Tonga – Sebuah pulau baharu muncul di Kepulauan Tonga Tengah, barat daya Lautan Pasifik yang menempatkan banyak gunung berapi dasar laut, lapor stesen penyiaran CNN kelmarin.
Salah satu gunung berapi dasar laut di situ meletus pada 10 September lalu dengan memuntahkan lahar, wap air dan abu, demikian menurut kenyataan dari Balai Cerap Bumi Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA).
Selepas 11 jam gunung berapi itu meletus, sebuah pulau baharu muncul di atas permukaan laut, kata NASA yang merakam imej pulau tersebut menggunakan satelit.
Saiz pulau baharu tersebut dilaporkan membesar dengan pantas. Pada 14 September lalu, sepasukan penyelidik dari Perkhidmatan Geologi Tonga menganggarkan bahawa pulau itu hanya bersaiz 4,000 meter persegi atau sekitar 0.4 hektar.
Bagaimanapun menjelang 20 September lalu, pulau itu berkembang sehingga meliputi 24,000 meter persegi atau sekitar 2.4 hektar.
Pulau itu terletak di gunung berapi dasar laut Home Reef di Kepulauan Tonga Tengah, barat daya Pulau Late.
“Pulau yang terhasil daripada gunung berapi dasar laut kebiasaannya mempunyai jangka hayat yang pendek,” kata NASA.
Bagaimanapun, pulau-pulau itu kadangkala bertahan selama bertahun-tahun atau bahkan beberapa dekad.
Sementara itu, gunung berapi Home Reef masih meletus hingga Jumaat lalu, demikian menurut catatan Facebook Perkhidmatan Geologi Tonga.
Aktiviti gunung berapi itu bagaimanapun menimbulkan risiko rendah kepada komuniti penerbangan dan penduduk di Vava’u dan Ha’apai iaitu dua kumpulan pulau di tengah Tonga. – Agensi