SETELAH pintu negara ditutup selama lebih dua tahun bagi mengekang penularan Covid-19, kini rakyat Malaysia bebas kemana-mana destinasi setelah larangan itu ditarik balik.
Maka tidak hairanlah, ramai orang kita memilih untuk melancong ke luar negara termasuklah Hatyai, Thailand.
Baru-baru ini, media melaporkan rakyat Malaysia kini rancak ke Hatyai dan kita dapat lihat sendiri pintu sempadan di Bukit Kayu Hitam, Kedah sesak.
Rakan-rakan penulis juga tidak melepaskan peluang untuk melancong ke destinasi tersebut.
Seorang rakan dikenali sebagai Faiz berkata, salah satu faktor dia membawa keluarganya bercuti di situ kerana kos murah.
“Boleh dikatakan kos makan, tempat tinggal dan lain-lain lagi begitu murah berbanding melancong di dalam negara.
“Walaupun kadar tukaran mata wang Ringgit Malaysia (RM) tak berapa baik, tetapi harga barang dan makanan di sana murah,” katanya.
Menurutnya, Hatyai merupakan ‘syurga makanan’ buat pelancong kerana menawarkan makanan enak pada harga murah dan berbaloi untuk dikunjungi.
Sementara itu, pensyarah di Jabatan Rekreasi dan Ekopelancongan, Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Siti Suriawati Isa berkata, menjadi lumrah bagi pelanggan untuk memilih mana-mana produk yang mereka suka dan bersesuaian dengan kehendak masing-masing.
Kata beliau, terdapat beberapa sebab pelancong Malaysia memilih Hatyai berbanding destinasi dalam negara kita.
“Antaranya adalah faktor pelancongan gastronomi iaitu berasaskan makanan yang amat popular di Hatyai. Bahkan makanan halal juga mudah didapati di destinasi itu dengan pelbagai pilihan berserta harga yang berpatutan,” ujarnya.
Menurut Siti Suriawati, sektor pelancongan gastronomi di Hatyai seringkali mendapat liputan meluas di media sosial para pemengaruh dari dalam dan luar Malaysia sejak lima tahun lalu.
Malah, ramai selebriti terkenal Malaysia juga menyebar luas aktiviti mereka ketika berkunjung ke Hatyai.
Selain itu, Hatyai menjadi pilihan pelancong Malaysia disebabkan ia mudah untuk diakses menggunakan pelbagai jenis kenderaan sama ada darat mahupun udara.
Dalam pada itu, Siti Suriawati memberitahu, hal ini juga akan menyebabkan aliran wang keluar dari negara kita ke negara luar dalam jumlah yang besar.
“Ini seterusnya akan memberikan kesan langsung kepada ekonomi negara.
“Sekiranya tidak dikawal, ia mungkin akan membawa masalah ekonomi yang lebih meruncing dan kesan kepada nilai mata wang Malaysia,” kata beliau.
Oleh itu, Siti Suriawati menggalakkan pemain industri pelancong tempatan supaya lebih kreatif dalam usaha menarik minat para pelancong tempatan ke tempat masing-masing.
“Pada masa ini pemain industri pelancong tempatan didapati cenderung untuk menawarkan produk yang sama dengan tempat lain tanpa sebarang penambahbaikan.
“Dalam masa yang sama saya juga menyarankan kepada masyarakat di luar sana untuk lebih mengutamakan pelancongan domestik kerana masih terdapat banyak produk pelancongan dalam negara yang masih belum diterokai oleh mereka,” katanya.
Tambah beliau lagi, masih banyak destinasi pelancongan dalam negara yang unik untuk dikunjungi oleh semua golongan masyarakat di Malaysia. -KOSMO! ONLINE