SERDANG -Siapa sangka empat sekawan menjadikan penjara tempat tercipta sebuah kumpulan samun di Lembah Klang yang dikenali sebagai ‘geng angah’ namun telah tumpas apabila ditahan polis di kawasan Dang Wangi dan Petaling Jaya pada Khamis dan Jumaat lepas.
‘Geng Angah’ mensasarkan mangsa yang sedang keluar atau masuk kereta di ruangan parkir gelap dengan mengenakan topi dan penutup muka serta menggunakan kenderaan bercermin gelap.
Bertindak atas hasil maklumat dan risikan, empat suspek lelaki ditahan disyaki terlibat dalam kegiatan tersebut berusia lingkungan 27 hingga 37 tahun turut memiliki pelbagai rekod lampau dan baru sahaja keluar daripada hukuman penjara.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A.A Anbalangan berkata, laporan daripada mangsa diterima berkenaan samun melarikan kenderaan di tepi jalan berhadapan Restoran Mama Kim, Jalan Layang-Layang 4, di sini dua hari sebelum tangkapan dibuat.
“Mangsa disamun oleh tiga orang lelaki tempatan semasa mangsa hendak keluar daripada kereta Honda City, suspek menggunakan semua kenderaan Persona Merah dengan bersenjatakan sebilah parang.
“Mangsa dipaksa keluar daripada kenderaan dan telah mengalami kerugian anggaran bernilai RM80,000,”katanya dalam satu sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, A.A Anbalangan berkata, kumpulan ini aktif sejak dua bulan lalu di Serdang, Kajang serta Kuala Lumpur (Brickfields) dan hasil kereta curi disyaki akan dijual di pasaran gelap atau menggunakannya untuk kegiatan samun yang lain.
Nilai rampasan sebanyak RM250,000 melibatkan lapan telefon bimbit pelbagai jenama dirampas, 3 buah kereta jenis Proton Persona, Honda city, dan Hyundai Sonata, beg silang, komputer riba, dan sebilah parang dipercayai digunakan melakukan kegiatan samun.
Tambah A.A. Anbalangan, ujian air kencing terhadap kesemua suspek adalah positif dadah jenis methamphetamine dan memiliki pelbagai rekod jenayah dan satu mempunyai rekod dikehendaki polis berkaitan dadah.
Kes disiasat dibawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan Samun Berkawan Tanpa Senjata Api
Suspek akan tamat reman dan dijangka akan disambungkan reman itu, sekiranya daerah lain memerlukan untuk soal siasat kami akan serahkan mereka kepada polis di daerah terbabit. – KOSMO! ONLINE.