KOTA BHARU – Jumlah tunggakan kes melibatkan urusan pembahagian harta pusaka berkurangan sebanyak 28,423 bagi tempoh lapan bulan tahun ini.
Menteri Tenaga Dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sebanyak 72,384 kes tunggakan dicatatkan pada awal tahun ini dan menurun kepada 42,861 kes pada bulan lalu.
Jumlah itu dianggarkan mengalami pengurangan sebanyak 40 peratus berbanding tunggakan sedia ada.
“Kita menghadapi kekangan untuk menguruskan kes pembahagian harta pusaka semasa pandemik Covid-19. Aspek pengurusan kes juga semakin baik semasa negara memasuki fasa peralihan ke endemik.
“Kementerian juga berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kementerian Kewangan dan sebanyak 100 penjawatan kontrak diluluskan (50 pegawai dan 50 pembantu tadbir) untuk menyelesaikan kes tunggakan pusaka di negara ini.
“Pengambilan bermula Januari depan itu diharap dapat menyelesaikan baki tunggakan sedia ada dengan segera,” katanya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Klinik Penyelesaian Tunggakan Kes Pusaka Peringkat Negeri Kelantan di sebuah hotel di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff, Speaker Dewan Undangan Negeri Kelantan, Datuk Abdullah Ya’kub dan Pengarah Jabatan Tanah dan Galian Kelantan, Datuk Zamri Ismail.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Kota Bharu dalam ucapannya berkata, isu kelewatan menguruskan pusaka bukan sahaja menyebabkan harta menjadi beku, malah ia boleh menyebabkan di peringkat nasional.
Menurutnya, harta-harta itu juga tidak dapat dimanfaatkan oleh waris sehingga berlaku susut nilai terhadap nilai harta apabila bilangan waris bertambah ekoran kematian berlapis.
“Pembahagian harta pusaka melibatkan harta tak alih iaitu bangunan, tanah atau rumah dan harta alih iaitu wang simpanan, kereta atau motosikal dengan jumlah keseluruhan RM2 juta ke bawah.
“Selain itu, Bahagian Pembahagian Pusaka menerima purata sebanyak 60,000 kes setahun. 65 peratus daripada jumlah kes pembahagian pusaka itu akan diuruskan bersama agensi lain iaitu Mahkamah Tinggi dan Amanah Raya Berhad,” katanya.
Tambahnya, Kelantan mencatatkan sebanyak 7,570 kes pembahagian pusaka tertunggak sehingga Ogos lalu. – KOSMO! ONLINE