fbpx

Johor letak sasaran di Sukma 2024

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MENTERI Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dijulang oleh ahli kontinjen Johor selepas muncul juara keseluruhan bagi Sukan Malaysia 2022 (SUKMA) ke-20 pada Majlis Penutup Sukma 2022 kelmarin.

Selepas meraikan kemena­ngan penuh bersejarah apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan Sukan Malaysia (Sukma) 2022, Johor meletakkan sasaran 70 pingat emas untuk mempertahankan gelaran tersebut pada edisi 2024 kelak.

Ketua Kontinjennya, Datuk Mohd. Najib Samuri memberi penghargaan kepada seluruh 526 atletnya selepas berjaya merea­lisasikan impian Johor untuk dinobatkan sebagai juara keseluruhan buat julung kalinya dalam tempoh 36 tahun sejak temasya sukan dwitahunan itu dianjurkan pada 1986 di Kuala Lumpur.

Tegas Mohd. Najib, salah satu kunci kejayaan kontinjen Johor kali ini adalah kerjasama yang ditunjukkan semua pihak terma­suklah kerajaan negeri, persa­tuan sukan, atlet, jurulatih dan pegawai dalam persiapan bagi menghadapi temasya tersebut.

“Secara keseluruhan saya sa­ngat gembira dengan kejayaan ini selepas kontinjen Johor dinobatkan juara keseluruhan buat julung kalinya pada Sukma edisi ke-20 ini.

“Lebih manis, kejayaan ini pertama buat Johor semenjak temasya sukan ini dianjurkan pada 1986.

“77 pingat emas keseluruhan adalah rekod tertinggi yang pernah dicapai negeri Johor semenjak kita lakukan pada Sukma 2010 (Melaka) dengan 40 emas. Alhamdulilah kita berjaya merea­lisasikan impian kami hari ini (semalam).

“Justeru, untuk mempertahankan gelaran ini dua tahun akan datang iaitu pada Sukma 2024, saya mungkin minta Majlis Sukan Negeri Johor sasarkan 70 pingat emas.

“Sebenarnya kita sudah buat analisa kerana untuk 40 pi­ngat emas sahaja mampu berada kelompok lima terbaik dan 50 emas berada di tangga tiga terbaik. 70 emas adalah juara.

“Alhamdulilah hari ini (semalam) kita dapat tambah tujuh lagi pingat emas. Ini satu bonus buat kontinjen Johor. Kemenangan ini sekali gus dapat menggembirakan seluruh rakyat negeri Johor khususnya,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Penutupan Sukma 2022 di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) semalam.

Ketika ditanya berkenaan cuti peristiwa mahupun lokasi meraikan kontinjen Johor selepas dinobatkan juara Sukma 2022, Mohd. Najib menyerahkan kepada Kerajaan Negeri Johor untuk membuat keputusan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI