BUKAN sahaja berjaya mencuri tumpuan golongan ibu-ibu, laman Instagram @zhafranumareats yang mendokumentasikan kegigihan seorang ibu menyiapkan bekalan makanan sihat untuk anak ke sekolah berlatarbelakangkan suara comel si anak turut berjaya menarik tumpuan anak gadis.
Salah seorang daripadanya ialah Nurirdina Sufia Izham. Sebagai pelajar yang mengambil jurusan Dietetik, melihatkan kandungan seumpama itu begitu membuatkan jiwanya girang.
Mana tidaknya, gadis berusia 21 tahun itu gembira apabila melihat ramai ibu mula sedar tentang pemakanan sihat anak mereka dari kecil.
“Pemakanan inilah yang memberi perkembangan mental dan tumbesaran yang baik.
“Video-video seperti ini wajar kita sebarkan untuk membuka mata masyarakat bahawa masalah kesihatan kanak-kanak seperti obesiti dan malnutrisi boleh diatasi.
“Secara tidak langsung, ia membuatkan masyarakat terutamanya kaum ibu tertarik untuk mengaplikasikan amalan tersebut dalam kehidupan harian mereka,” katanya kepada K2 baru-baru ini.
Nurirdina Sufia kini melanjutkan pengajian dalam Ijazah Sarjana Muda Dietetik di Univesiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Selangor.
Kata anak sulung daripada tiga orang adik-beradik yang lebih mesra disapa Sufia itu, dia memilih jurusan tersebut selepas terinspirasi dengan filem Hollywood berjudul To The Bone.
Filem yang dibintangi selebriti popular seperti Keanu Reeves itu memupuk kesedaran tentang masalah pemakanan dan peranan pakar pemakanan dalam kalangan masyarakat.
“Saya mahu menyedarkan masyarakat, kesihatan boleh dijaga tanpa perlu mengamalkan diet ekstrem. Bukan sahaja masalah obesiti, bahkan turut melibatkan isu kekurangan berat badan.
“Ini kerana, saya bertemu ramai yang mengalami masalah kekurangan berat badan dalam kalangan remaja.
“Biarpun masalah ini juga berbahaya, tetapi tidak ramai yang memberi perhatian memandangkan mereka kini lebih tertumpu membicarakan masalah obesiti.
“Kadangkala jika mengenali mereka dengan lebih mendalam, ramai dalam kalangan mereka memuntahkan semula apa yang dimakan,” ujarnya.
Melihatkan setiap bait-bait perkataan yang dituturkan gadis yang kini menetap di Melaka ini, ternyata Sufia begitu meminati bidang yang dipilihnya itu.
Dia pernah menjawat jawatan sebagai Ahli Majlis Tertinggi Dietetics Students’ Association (DiETS) di universiti terbabit dari tahun 2020 hingga 2021.
Lebih membanggakan apabila dia juga pernah menjalankan kerjasama dengan Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) bagi program Minyak Sawit Malaysia: Kegunaan dalam Makanan dan Bukan Makanan 2021 secara dalam talian.
Begitupun tidak semudah disangka, dia pernah hampir gagal dalam subjek Biologi yang merupakan mata pelajaran paling penting dalam jurusan tersebut sewaktu di peringkat asasi.
Sufia bahkan pernah melalui fasa berputus asa dengan subjek tersebut dan tidak berkeinginan untuk mengikuti sesi pengkuliahan.
Gadis ini bagaimanapun bersyukur kerana dengan sokongan rakan serumahnya, dia berjaya bangkit dan memperoleh keputusan A dalam subjek berkenaan sewaktu di semester akhir.
“Pensyarah saya terutamanya Dr. Siti Sabariah Buhari merupakan individu yang banyak menyuntik semangat dan inspirasi agar saya berjaya dalam bidang ini.
“Sepanjang pengajian, beliau berkongsi mengenai kertas kajian berkaitan nutrisi komuniti dan obesiti.
“Dedikasi beliau dalam bidang ini memberikan inspirasi kepada saya untuk menjadi pakar pemakanan mahupun penyelidik yang berjaya suatu hari nanti,” jelasnya.
Kata Sufia lagi, dia mahu menjadi pegawai dietitik yang bertugas secara klinikal di hospital-hospital besar suatu hari nanti.
Ini kerana, dia begitu bersemangat untuk bertemu dengan pesakit dan membincangkan masalah penyakit berkaitan pemakanan yang sering dialami sebahagian masyarakat di negara ini.
Antaranya, penyakit tiga serangkai dan masalah obesiti.
Pun begitu, di sebalik kesibukannya mengejar impian, gadis ini pernah dipandang rendah hanya kerana dia bersekolah harian biasa di kawasan pedalaman.
Lebih menyedihkan apabila dia juga pernah dianggap tidak mampu bersaing dengan pelajar yang datang dari sekolah hebat.
Hanya mampu mengabaikan kata-kata negatif itu, Sufia berjaya membuktikan tanggapan tersebut salah dengan kejayaannya melanjutkan pengajian dalam bidang diminati.