KOTA TINGGI – Dua beranak maut selepas motosikal ditunggang terbabas akibat melanggar seekor ayam hutan yang secara tiba-tiba melintas jalan dalam kejadian berlaku di kilometer 39.5 Jalan Kota Tinggi – Kluang malam semalam.
Mangsa dikenali sebagai Yusri Yusof, 40 dan anaknya Nurirham Firdaus, 9 ketika kejadian menaiki motosikal jenis Yamaha MT-09 dan disahkan maut di lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora berkata pihak polis menerima maklumat kejadian kemalangan itu pada pukul 8 malam.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila penunggang motosikal terbabit yang dalam perjalanan dari Bandar Tenggara menghala ke Felda Pengeli Timur, ketika sampai di lokasi kejadian berdekatan Stesen Minyak Shell Pengeli Timur motosikalnya telah hilang kawalan akibat melanggar seekor ayam hutan.
“Haiwan itu dipercayai secara tiba-tiba melintasi jalan lalu menyebabkan motosikal ditunggang terbabas ke kawasan rumput dan melanggar sebatang pokok dibahu kiri jalan tersebut.
“Kejadian itu disedari oleh orang awam yang melalui jalan tersebut pada pukul 7.40 petang sebelum memaklumkan kepada pihak polis,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya akibat daripada kemalangan itu penunggang motosikal berumur 40 tahun dan anak lelakinya berumur 9 tahun meninggal dunia ditempat kejadian.-KOSMO! ONLINE