SEJARAH dan reputasi hebat dalam arena bola sepak tanah air antara faktor utama bekas pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menandatangani kontrak sebagai ketua jurulatih baharu Selangor FC.
Kehadiran Cheng Hoe, 54, dilihat mampu mengembalikan semula kegemilangan Selangor yang bergelut dalam saingan Liga Super apabila menduduki tangga kelapan dengan baki empat perlawanan musim ini.
Ia turut memberikan harapan kepada para penyokong Selangor untuk melihat Gergasi Merah kembali ke pentas Asia sejak kali terakhir beraksi dalam kancah Piala AFC pada 2016.
“Selangor ada reputasi dan sejarah tersendiri dalam bola sepak Malaysia. Untuk jangka masa pendek, jangkaan jangan terlalu tinggi, tetapi saya percaya mampu bawa pasukan ini ke satu tahap terbaik.
“Sudah tentu saya perlukan kerjasama daripada semua pihak terutama pemain dan pengurusan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS). Barisan jurulatih sedia ada akan bekerja keras memastikan Selangor berada di landasan terbaik.
“Saya nak pemain faham corak dan falsafah permainan saya kerana karakter dan kualiti pemain berbeza antara satu sama lain,” kata Cheng Hoe yang akan menghadapi perlawanan pertama menentang Melaka United dalam aksi Liga Super pada 1 Oktober ini.
Kemampuan Cheng Hoe tidak perlu dipertikaikan lagi kerana mempunyai resume yang hebat terutama ketika mengendalikan Kedah sehingga menjadi antara pencabar utama, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Selama tiga tahun bersama Kedah dari April 2014 hingga April 2017, Cheng Hoe berjaya merangkul gelaran Liga Premier 2015, Piala Malaysia 2016 dan Piala Sumbangsih 2017 selain memenangi Anugerah Jurulatih Terbaik 2016.
Anak jati Alor Setar itu kemudiannya dilantik sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya dari 2018 hingga 2021 dengan pencapaian terbaiknya muncul naib juara Piala AFF 2018.
Bagaimanapun, Cheng Hoe mengambil tanggungjawab dengan melepaskan jawatannya bersama skuad kebangsaan awal Januari tahun lalu ekoran kegagalan ke separuh akhir Piala AFF 2020 di Singapura pada Disember 2021.