fbpx

ATN8 iktiraf karya adaptasi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anugerah Telenovela kelapan bakal mengiktiraf karya adaptasi pemenang dari kategori buku dan penerbitan drama serta telefilem.

PETALING JAYA – Anugerah Telenovela kelapan (ATN8) bakal menobatkan dan mengiktiraf karya pemenang daripada kategori buku dan penerbitan drama serta telefilem.

Ahli Lembaga Pengarah ATN8, Datuk Rosmarayu Mokhtar berkata, undian atas talian Top 5 juga telah dibuka bermula 20 September lalu dan sambutan yang diterima mereka bagi anugerah berprestij itu juga sangat menggalakkan.

Katanya, jumlah undian yang diterima mereka sedikit sebanyak mencerminkan kesetiaan para peminat dalam menyokong kerjaya lakonan selebriti kesayangan mereka.

“ATN8 terbahagi kepada dua konsep penilaian iaitu pemilihan calon oleh juri profesional dan pemilihan calon oleh peminat melalui undian atas talian.

“Undian online sangat mendapat sambutan sehingga mencecah 4.8 juta penyertaan peminat. Sambutan luar biasa kali ini adalah disebabkan kesetiaan peminat terhadap artis pujaan masing-masing.

“Pernah juga sistem pengundian ini cuba diceroboh, namun kami memiliki sistem kawalan keselamatan yang sangat kebal,” katanya.

Tambahnya, sistem pengundian pada kali ini sangat mencabar kerana menggabungkan pencalonan karya terbitan tiga tahun berturut-turut iaitu 2019, 2020 dan 2021.

Dalam pada itu, pengundian online bagi fasa 1 ATN8 telah mula dilancarkan pada Mac lalu bagi memberi peluang kepada para peminat tegar untuk mengundi karya-karya adaptasi ‘Book2Screen’, iaitu novel ke drama, telefilem dan filem.

“Bagi tahun ini, terdapat 106 calon telenovela telah berentap bagi merebut lebih 40 anugerah menerusi dua kategori, iaitu Kategori Popular (100 peratus undian online) dan Kategori Terbaik (100 peratus penjurian oleh juri profesional).

“Kesemua karya adaptasi yang tercalon mestilah ditayangkan di kaca televisyen atau stesen satelit atau stesen umum (Free To Air) atau pawagam. Buat masa ini, pencalonan bagi tayangan melalui laman sosial tidak diterima,” ujarnya.

Antara kategori bagi undian online termasuklah Novel Popular, Telenovela Popular, Pelakon Lelaki Telenovela Popular, Pelakon Wanita Telenovela Popular dan Pasangan Serasi Popular.

Sementara itu, Pengurus Projek ATN8, Dr. Roslan Basarudin berkata, pihak penganjur masih lagi mencari penajaan daripada mana-mana pihak berminat sekali gus merealisasikan anugerah berkenaan.

“Jika sesiapa ada mengikuti kami pada tahun sebelum ini, kami tidaklah sebesar penganjuran anugerah hiburan yang lain. Hal ini berlaku kerana kekangan bajet penganjuran yang terhad.

“Kami sentiasa komited dalam mendukung hasrat kerajaan untuk merancakkan lagi industri penerbitan dan seni kreatif negara dengan penghasilan karya-karya yang berkualiti tinggi serta bertaraf dunia,” katannya.

ATN8 dianjurkan bersama Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) dan D’Ayu Pictures Sdn. Bhd.

Senarai penuh pencalonan ATN-8 boleh dilawati di laman web rasmi Anugerah Telenovela: http://www.anugerahtelenovela.com.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI