fbpx

Yusof Wahab sertai pertandingan seni mempertahankan diri di China

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Yusof Wahab (kanan) dan Mazlan Goh pada penggambaran video di Istana Lama Seri Menanti, Kuala Pilah hari ini.- Foto MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.

KUALA PILAH – Pelakon era 1980-an yang terkenal ketika membintangi filem Anak Sarawak dan juga pengarah drama, Yusof Wahab, 61, dipilih mewakili negara bagi menyertai pertandingan seni mempertahankan diri yang akan berlangsung di China pada tahun depan.

Pengerusi NQ Cultural Commercial (NQCC) Sdn. Bhd., Mazlan Goh Ahmad Goh bagaimanapun berkata, disebabkan Covid-19 masih melanda China ketika ini, pihaknya terpaksa terlebih dahulu menghasilkan rakaman video bagi pertandingan itu.

“Rakaman video berkenaan akan menonjolkan Yusof dengan gerak seni bela diri silat Melayu yang merupakan salah satu warisan kebudayaan di negara kita.

“Kami menampilkan Yusof bukan sahaja berdasarkan pengalamannya sebagai pengarah drama selama 22 tahun malah sebagai pesilat berpengalaman lebih 50 tahun.

“Yusof telah mendalami lebih daripada 10 jenis seni silat sejak berusia lapan tahun, malah mempunyai pengalaman seni mempertahankan lain iaitu karate, taekwondo dan shaolin,” katanya ketika ditemui pemberita di Istana Lama Seri Menanti di sini hari ini.

Mazlan berkata, video untuk pertandingan itu adalah berdurasi 10 hingga 15 minit dan menjadikan Istana Lama Seri Menanti sebagai lokasi penggambaran.

“Rakaman video dijalankan selama sehari berlatar belakangkan Istana Lama Seri Menanti kerana lokasi ini menonjolkan seni bina masyarakat Melayu di Negeri Sembilan.

“Saya dimaklumkan terdapat lebih 300 pasukan yang akan turut menyertai pertandingan ini. Saya mahu mengetengahkan silat Melayu ini bagi membolehkan orang luar atau pelancong mengenali budaya masyarakat Melayu di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, NQCC merupakan sebuah syarikat produksi miliknya dan pernah mengendalikan program penerbitan yang ditayangkan di China Channel TV (CCTV) di China. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI