PASIR MAS – Polis mengesahkan bahawa tiada kejadian cubaan membunuh diri melibatkan seorang wanita yang mahu terjun dari Jambatan Sultan Ismail Petra, Tendong atau dikenali sebagai Jambatan Tendong di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd. Nasaruddin M. Nasir berkata, siasatan mendapati, tiada usaha daripada wanita itu untuk cuba membunuh diri di kawasan tersebut.
Menurutnya, mangsa hanya berdiam diri apabila ditanya oleh orang awam semasa dia sedang duduk menyandar di tepi jalan di jejambat sebelum jambatan itu.
“Sebaliknya, ia adalah salah faham orang awam apabila menyangka wanita itu ingin terjun dari jambatan tersebut dan terus menghubungi polis.
“Polis yang tiba di lokasi kejadian terus menghantar mangsa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu untuk rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mohd. Nasaruddin, ahli keluarga mangsa mengesahkan wanita yang masih bujang itu mengalami kemurungan sejak tiga tahun lalu.
Katanya, berdasarkan maklumat ahli keluarga, wanita itu keluar dari rumahnya di Kampung Sireh, Kota Bharu kira-kira pukul 7 pagi semalam sebelum dia ditemui orang awam pada pukul 9.30 pagi.
“Wanita itu dirawat di wad psikiatri HRPZ II dan keadaannya kini dilaporkan stabil.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah menyebarkan sebarang berita atau perkara yang tidak pasti bagi mengelakkan kebimbangan dan salah faham berlaku dalam kalangan masyarakat,” katanya.
Kosmo! Online semalam melaporkan, cubaan seorang wanita untuk terjun dari Jambatan Sultan Ismail Petra di sini gagal apabila dia berjaya diselamatkan penduduk kampung dan pengguna jalan raya yang melalui lokasi tersebut.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.50 pagi itu, wanita berusia dalam lingkungan 40-an dilihat berjalan kaki di atas jambatan itu sebelum cuba untuk terjun ke dalam Sungai Kelantan. – KOSMO! ONLINE