PETALING JAYA – Impian empat pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Sungai Arip, Selangau, Sarawak untuk memenangi Pertandingan Bahas Peringkat Negeri Sarawak 2022 musnah gara-gara bekalan elektrik terputus dan liputan internet yang lemah.
Berdasarkan perkongsian guru pelajar terbabit di Facebook Michael Bandang Tinggai, usaha anak-anak muridnya membuat persiapan bagi menyertai pertandingan itu secara dalam talian jadi sia-sia apabila mereka tersingkir berpunca daripada masalah di luar kawalan mereka.
“Terputus bekalan elektrik, pelajar SK Ulu Sungai Arip tersingkir Bahas Peringkat Negeri Sarawak 2022 kerana tiada internet. Sedih, tak dapat cikgu berdepan dengan muka anak-anak. Berbulan berlatih, berakhir macam ini saja,” katanya.
Dalam pada itu, Michael turut melahirkan kekecewaan kerana masalah teknikal tersebut didakwa bukan pertama kali berlaku.
“Hakikat yang amat pahit untuk ditelan tersingkir kerana masalah teknikal yang tak pernah habis seperti ‘blackout’ ini. Sampai bilalah terus macam ini,” ujarnya.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman video empat pelajar itu dilihat menangis kesedihan kerana tersingkir daripada pertandingan berkenaan. – KOSMO! ONLINE