NAMA Neelofa sememangnya tidak pernah sunyi daripada menjadi bahan bualan netizen.
Apa sahaja dilakukan, dikongsi atau dipakainya pasti akan dipuji atau dipertikai ramai.
Paling mencuit hati Diva baru-baru ini apabila busana jubah yang dipakainya pula menjadi bahan perdebatan segelintir individu.
Kata mereka, gaya Neelofa yang suka memakai baju labuh meleret adalah isbal iaitu larangan melabuhkan pakaian sehingga menutup mata kaki.
Perkara tersebut mencetuskan pertikaian ramai dalam media sosial. Bagi Diva, bajunya hanya longgar dan besar dan tidaklah terlalu meleret seperti yang didakwa ramai.
Selain itu, ada netizen yang menasihatkan individu itu agar tidak membangkitkan isu kecil sebegitu dalam media sosial kerana boleh mendatangkan perbalahan.
Tak beranilah Diva nak komen lebih-lebih berkaitan hal agama tetapi hasil pemahaman dan bacaan, sepertinya kaum wanita dibenarkan melabuhkan pakaian dengan tambahan kepanjangan satu jengkal atau hasta daripada yang diperbolehkan untuk golongan lelaki.
Panjang lebar pula Diva memberi ceramah. Sebaik-baiknya rujuklah dengan individu yang pakar sebelum berkongsi sesuatu perkara terutama berkaitan isu agama.
DIVA: Mesti penat jadi Neelofa, ada sahaja hal yang tidak kena pada mata masyarakat.