SUNGAI PETANI – Kegembiraan seorang remaja perempuan yang baru mendapat kerja di sebuah kilang di sini berkecai apabila dia dan kakaknya maut dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat di Jalan Sungai Layar di sini kelmarin.
Kejadian pada pukul 1.40 tengah hari itu mengorbankan Aliya Bashiroh Nasir, 18 dan kakaknya, Nurul Natasha, 23, akibat kecederaan parah di kepala.
Kemalangan berlaku apabila motosikal jenis Yamaha LC135 dinaiki mereka dari arah Sungai Layar menghala Semeling bertembung dengan kereta jenis Proton Saga dipandu seorang guru berusia 54 tahun arah Sungai Jagung ke Laguna Merbok.
Aliya Bashiroh meninggal dunia pada pukul 12 tengah malam diikuti kakaknya sembilan jam kemudian.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kemalangan berlaku apabila kedua-dua kenderaan tidak berhenti dan memperlahankan kenderaan ketika melalui persimpangan lampu isyarat rosak.
Sementara itu, abang ipar mangsa, Zulkhamil Ali, 35, sebelum kejadian mangsa ingin pulang ke rumah di Kampung Sungai Pial, Tanjung Dawai dekat sini dari sebuah bank.
“Aliya gembira kerana baru dapat kerja dua minggu lalu dan dia pergi ke bank untuk buat kad. Tak sangka mereka pergi serentak dan tak sempat hendak membantu ibu,” katanya.
Menurut Zulkhamil, mereka sekeluarga bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berkaitan yang tidak menyelenggara lampu isyarat itu dengan baik.
Jenazah dua beradik itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Fatimah di Kampung Sungai Pial.