fbpx

Gelanggang silat terus tumbuh, fenomena Mat Kilau belum berakhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Jasvir Singh (tengah berbaju merah) bersama pelajar silat ketika menyampaikan 'tatami mattress' kepada Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (Kebangsaan) di gelanggang silat Kampung Baru di Bentong.

BENTONG – Fenomena Mat Kilau di negeri ini masih berterusan apabila gelanggang silat tumbuh bagai cendawan selepas penayangan filem perjuangan bersejarah Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan.

Guru Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (Kebangsaan) Bentong, Rozaimie Zainal berkata, akibat sambutan yang amat menggalakkan menyaksikan sebanyak 11 gelanggang silat pertubuhan itu dibuka di kawasan Bentong sahaja setakat ini.

“Alhamdulillah, fenomena Mat Kilau menyebabkan sambutan menggalakkan untuk belajar silat dan dalam masa terdekat kita akan membuka lagi gelanggang silat di daerah ini.

“Kita juga dalam perancangan membuka gelanggang pusat yang lebih sempurna untuk tempat belajar dan juga latihan kepada jurulatih,” katanya selepas majlis penyampaian sumbangan ‘tatami mattress’ kepada gelanggang silat Pertubuhan Silat Seni Gayong Malaysia (Kebangsaan) Kampung Baru di sini malam semalam.

Pada majlis itu, Pegawai Khas Menteri Besar, Datuk Jasvir Singh Ram Singh menyampaikan ‘tatami mattress’ atau tikar untuk silat kepada gelanggang silat berkenaan.

Menurut Rozaimie, pada masa ini gelanggang silat persatuan silat berkenaan di sekitar Bentong mempunyai kira-kira 500 pelajar terdiri daripada mereka berumur enam tahun dan ke atas.

Katanya, pelajar yang datang belajar seni silat berkenaan adalah atas minat sendiri terhadap seni pertahanan diri selain dorongan dan galakan daripada keluarga masing-masing.

“Biasanya gelanggang akan dibuka pada waktu malam yang mana di Kampung Baru pada masa ini, kita mempunyai 46 orang pelajar dan jumlah terus bertambah dari semasa ke semasa.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Datuk Jasvir yang segera menyalurkan bantuan ‘tatami mattress’ selepas kita memaklumkan kepada beliau keperluan itu baru-baru ini,” katanya.

Sementara itu, Jasvir berkata, sumbangan itu diharap dapat memberikan keselesaan kepada pelajar-pelajar seni pertahanan diri sekali gus membuatkan mereka mudah menguasai seni silat berkenaan.

Ujarnya, beliau akan terus membantu menyalurkan sumbangan diperlukan oleh persatuan seni silat berkenaan dari semasa ke semasa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI