BEIJING – Seekor serigala Artik yang diklon buat kali pertama oleh firma genetik berpangkalan di ibu kota China, Beijing, dilahirkan pada Jun lalu, lapor portal berita MailOnline kelmarin.
Proses persenyawaan mengambil sel penderma daripada serigala Artik betina liar dan menggabungkannya dengan embrio yang ditanam di dalam seekor burung belang.
Ini menjadikan anak serigala klon bernama Maya itu berkongsi keturunan genetik dengan serigala purba bagi memastikan proses itu berjaya.
Firma Singogen Biotechnology menunggu Maya berumur 100 hari sebelum mengumumkan kelahirannya dengan harapan klon itu akan berada dalam keadaan sihat.
Spesies serigala Arktik tidak terancam seperti baka lain tetapi Singogen berharap dapat menggunakan kejayaan proses itu menjadi pendorong bagi menyelamatkan spesies lain yang berisiko mengalami kepupusan.
Walaupun ia merupakan kejayaan saintifik, pengklonan haiwan mengundang kontroversi kerana aktivis-aktivis menuduh bahawa haiwan yang terlibat terseksa semasa menjalani pembedahan yang diperlukan untuk mendapatkan sel penderma dan memindahkan embrio.
Satu lagi hujah menentang proses tersebut adalah berkaitan moral kerana saintis-saintis dianggap cuba mengambil alih peranan Tuhan dengan menghasilkan embrio tanpa menggunakan persenyawaan.
Sisi lain bagaimanapun percaya bahawa pengklonan haiwan adalah salah satu cara untuk menyelamatkan spesies di ambang kepupusan.
Serigala itu dicipta melalui teknik sama seperti biri-biri Dolly iaitu mamalia pertama yang diklon di Scotland pada tahun 1996 menerusi pemindahan nuklear sel somatik.
Buat masa ini, Maya dikatakan berada dalam keadaan sihat dan mempamerkan tingkah laku seperti anak serigala Artik lain.
Pengurus besar Sinogene Biotechnology, Mi Jidong memberitahu bahawa pihaknya memulakan kerjasama penyelidikan dengan Harbin Polarland untuk mengklon serigala Artik pada 2020.
“Selepas dua tahun, akhirnya, serigala Artik berjaya diklon. Ia adalah kes pertama seumpamanya di dunia,” kata Jidong. – Agensi