JOHOR BAHRU – Beberapa lokasi di Gelang Patah, Larkin dan Skudai dilanda banjir kilat ekoran hujan lebat yang berlarutan sejak awal pagi tadi.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Johor, kawasan yang terlibat adalah Kampung Baru Muafakat di Gelang Patah, Kampung Mohd. Amin di Larkin dan Kampung Laut di Skudai.
“Pihak bomba menjalankan operasi pemindahan pertama melibatkan satu keluarga dan ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Raya Gelang Patah.
“Selain itu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Iskandar Puteri turut melakukan pemantauan di Kampung Baru Muafakat, Gelang Patah. Anggota bersiap sedia di lokasi pemindahan sekiranya perlu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut jabatan itu, pemantauan juga dilakukan di sekitar Kampung Laut, Skudai oleh BBP Skudai. Keadaan semasa masih terkawal, pemantauan berterusan akan dibuat memandangkan cuaca semasa masih hujan lebat.
“Sehubungan itu, pihak bomba meminta orang ramai agar sentiasa berwaspada dalam tempoh hujan yang masih melanda Johor Bahru dan sekitarnya.
“Berpindahlah segera jika diarahkan oleh anggota keselamatan demi keselamatan anda. Orang ramai juga dinasihatkan menghubungi panggilan kecemasan 999 sekiranya mendapati kawasan dinaiki air bagi mendapatkan bantuan,” katanya. KOSMO! ONLINE.