PASIR MAS – Cubaan seorang wanita untuk terjun dari Jambatan Sultan Ismail Petra, Tendong di sini hari ini gagal apabila dia berjaya diselamatkan penduduk kampung dan pengguna jalan raya yang melalui lokasi tersebut.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.50 pagi itu, wanita berusia dalam lingkungan 40-an itu dilihat berjalan kaki di atas jambatan yang turut dikenali sebagai Jambatan Tendong sebelum cuba untuk terjun ke dalam Sungai Kelantan.
Saksi kejadian, Mohd. Suazhar Abdullah, 48, berkata, wanita yang tidak diketahui identitinya itu dilihat berjalan tanpa arah dari Kampung Kutan, Tumpat menghala ke Tendong seolah-olah seperti sedang kemurungan.
Menurut Pengetua Sekolah Menengah Ugama (Arab) Al-Ulum Padang Embun itu, sebelum kejadian, dia melihat wanita itu di Kampung Kutan semasa dalam perjalanan membeli nasi berlauk di Pasir Pekan, Tumpat.
“Semasa sedang dalam perjalanan pulang ke rumah di Tendong, saya sekali lagi lihat wanita itu masih lagi berjalan kaki berdekatan lampu isyarat simpang tiga menghala ke jambatan.
“Melihat kepada keadaannya itu, saya mengekorinya dengan kereta dan melihat dia pergi ke tangah jalan sebelum ke tepi jambatan untuk terjun. Ada pengguna jalan raya lain menahannya, namun tindakan itu membuatkan dia marah,” katanya yang juga merupakan perawat rawatan Islam Darussyifa’ di sini.
Menurutnya, dia cuba menenangkan wanita itu dengan ayat-ayat Ruqyah sebelum mangsa kelihatan sedikit tenang.
Katanya, melihat kepada keadaannya, wanita itu seperti sedang mengalami tekanan perasaan dan hasil pujukan orang ramai berjaya mengelakkan mangsa daripada terjun jambatan tersebut.
Mana-mana individu yang mempunyai masalah kemurungan atau menghadapi tekanan boleh menghubungi Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial (MHPSS) di 03-29359935 atau 014-3223392 atau Talian Kasih 15999/WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999. – KOSMO! ONLINE