PETALING JAYA – Pasangan selebriti popular Scha Alyahya dan Awal Ashaari membuatkan ramai makan hati apabila berpeluang bertemu serta berbual mesra dengan aktor terkenal Korea Selatan, Lee Min-ho.
Pengalaman manis tersebut dinikmati mereka ketika menghadiri pertunjukan fesyen jenama terkenal Boss di Milan, Itali semalam sempena penganjuran Minggu Fesyen Milan 2022.
Lebih mengujakan, tempat duduk Scha dan Awal diletakkan hanya selang beberapa kerusi dari pelakon drama The King: Eternal Monarch itu.
“Rakam momen teruja saya bersama Lee Min-ho, Naomi Campbell, Future Hendrix, Khaby Lame, Yzomandias dan J Balvin untuk anda semua (dan kami),” tulis pasangan itu dalam Instagram.
Selain Min-ho, Scha dan Awal turut berpeluang bergambar dan merakam video beberapa selebriti ternama lain seperti Naomi Campbell, Future Hendrix, Khaby Lame, Yzomandias dan J Balvin.
Dalam video tersebut, jelas kelihatan Min-ho bersikap sangat mesra dan melayan perbualan Scha serta Awal yang teruja melihatnya di depan mata.
Pasangan itu turut memaklumkan, Min-ho memberitahu mereka yang dia akan bertandang ke Kuala Lumpur pada minggu depan sempena penganjuran konsert ulang tahun CUCKOO.
“Fuh, memangis tepi bucu katil,” komen seorang netizen.
“Wow, untunglah dapat jumpa Lee Min-ho,” kata seorang lagi netizen teruja.
Sehari sebelum itu, Scha dan Awal yang menghadiri sesi pertunjukan fesyen sebuah lagi jenama iaitu Onitsuka Tiger berpeluang bertemu dan beramah mesra dengan selebriti ternama dunia lain termasuklah anggota kumpulan K-Pop terkenal GOT7, Yugyeom.
Pelakon dan penyanyi Daiyan Trisha yang turut berada di sana turut menuai perhatian selepas bergambar mesra dengan Yugyeom.
Dia sebelum ini membuatkan ramai teruja apabila berpeluang bergambar dengan pelakon siri popular Korea Selatan, All of Us Are Dead iaitu Yoon Chan-young pada pertunjukan fesyen jenama Coach di Minggu Fesyen New York beberapa hari lalu. – KOSMO! ONLINE