PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir melibatkan tujuh negeri petang ini.
MetMalaysia dalam kenyataan berkata, amaran itu dikeluarkan susulan hujan lebat serta ribut petir yang dijangka melanda seluruh negeri Perlis.
Cuaca buruk itu juga dijangka berlaku di beberapa negeri di Pantai Timur sehingga pukul 7 petang ini.
“Bagi Kedah, hujan lebat tertumpu di Langkawi, manakala Terengganu pula melibatkan Hulu Terengganu, Kuala Terengganu, Marang dan Dungun.
“Turut terlibat iaitu Jerantut di Pahang dan Mersing di Johor,” katanya hari ini.
Selain itu, bagi Sabah, ribut petir dan hujan lebat dijangkakan berlaku di pantai barat Papar dan Ranau manakala Sandakan di bahagian Telupid.
“Sarawak pula melibatkan daerah Kuching (Lundu), Serian, Samarahan (Simunjan), Sri Aman, Betong, Sarikei (Pakan, Julau dan Meradong), Sibu, Kapit (Belaga), Bintulu (Tatau) dan Miri (Beluru dan Telang Usan),” ujarnya. – KOSMO! ONLINE