fbpx

PRU-15: PBM tumpu kerusi disandang ahli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zuraida (dua kanan) selepas merasmikan pejabat PBM Pulau Pinang di Juru, Bukit Mertajam, di sini hari ini.

SEBERANG PERAI – Parti Bangsa Malaysia (PBM) dijangka memberi tumpuan khusus terhadap kerusi-kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandang ahlinya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) memandangkan peluang untuk menang dilihat lebih cerah.

Presiden penggantinya, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, rata-rata wakil rakyat daripada parti itu sudah dikenali ramai malah, ada dalam kalangan mereka termasuk beliau sendiri telah berkhidmat di kawasan yang sama selama tiga penggal.

Selain itu juga katanya, PBM tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk membina pengaruh baharu di kawasan lain memandangkan tarikh PRU-15 kini dilihat semakin hampir.

“Kita perlu lebih fokus dan strategik. Jadi, kita tumpu kerusi yang kita dah menang (disandang oleh ahli PBM). Itu sahaja.

“Kita tak akan pergi ke tempat yang kita belum tentu lagi (akan menang). Kita dah ada jentera, kita dah ada penyokong (di kerusi penyandang). Jadi, lebih mudah untuk kita buat kerja,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan pejabat PBM Pulau Pinang di Juru, Bukit Mertajam hari ini.

Selain kerusi Ampang yang disandang oleh Zuraida, kerusi Parlimen lain yang turut disandang oleh ahli PBM adalah di Tebrau (Steven Choong Shiau Yoon), Julau (Larry Sng Wei Shien) dan Silam oleh Datuk Mohamaddin Ketapi.

Pada masa yang sama, PBM juga memiliki lima kerusi DUN dengan tiga daripadanya di Perak dan dua lagi di Selangor termasuk kerusi milik Timbalan Presiden parti itu, Haniza Mohamed Talha iaitu DUN Lembah Jaya.

Dalam pada itu, Zuraida memberitahu, sambutan yang diterima terhadap parti tersebut selepas siri jelajah ke beberapa negeri termasuk di Perak, Selangor, Melaka, Negeri Sembilan dan Johor sebelum ini adalah baik.

“Untuk negeri-negeri yang tidak ada ‘incumbent’ (kerusi penyandang) kita turun untuk memperkenalkan parti sahaja. Tapi, untuk negeri yang ada ‘incumbent’ seperti Perak dan Selangor, kita akan buat program terus.

“Contohnya di kerusi DUN Malim Nawar (Leong Cheok Keng) dan beberapa kerusi lain termasuk kerusi saya sendiri (Ampang),” katanya yang tidak menolak untuk meletakkan calon di kerusi-kerusi baharu termasuk di Pulau Pinang sekiranya menerima tawaran daripada parti gabungan yang akan mereka sertai nanti.

Mengulas mengenai penyertaan PBM sebagai parti komponen dalam Barisan Nasional (BN), Zuraida berkata, belum ada sebarang kata putus dicapai buat masa ini dan pihaknya juga enggan memikirkan pelan alternatif sekiranya hasrat mereka untuk menganggotai parti gabungan itu tidak kesampaian.

“‘We will cross the bridge when we come to it’. Dalam hal ini, kita tidak akan memikirkan perkara yang belum terjadi (penerimaan BN). Kita hanya bertindak berdasarkan apa yang ada (situasi) sekarang,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI