NEW DELHI – Seorang pemandu pelancong mempamerkan keberanian luar biasa apabila berswafoto dengan seekor harimau citah pada jarak yang sangat dekat dengan wajah binatang buas itu, lapor stesen penyiaran NDTV semalam.
Menerusi video yang dikongsi oleh Pegawai Luar India, Clement Ben di laman Twitter, terdapat sekumpulan pelancong berada di belakang van dengan bahagian bumbung terbuka di sebuah taman safari.
Tidak lama selepas itu, seekor citah datang memanjat kenderaan itu dan mula memeriksa keadaan sekeliling.
Pemandu pelancong itu tanpa berfikir panjang mendekatkan wajahnya dengan harimau tersebut dan merakam gambar swafoto sambil dilihat dengan gerun oleh pelancong lain.
“Jangan risau, saya pemandu pelancong anda,” katanya sambil citah itu ‘memberi kerjasama’ dengan memandang ke arah kamera telefon yang digunakan.
Video itu tamat secara mengejut dan tiada maklumat berapa lama kumpulan pelancong tersebut menunggu untuk citah itu turun daripada van.
Video itu mengumpulkan 75,200 tontonan, 2,789 suka dan sejumlah komen.
Walaupun terdapat sebahagian daripada pengguna media sosial yang kagum dengan swafoto menakjubkan itu ada juga netizen yang melihat tindakan tersebut sebagai tidak wajar. – Agensi