KEMAMAN – Seorang lelaki yang pernah lumpuh separuh badan kerana serangan strok bangkit kembali untuk mengusahakan tanjak diperbuat daripada batik.
Saiful Bahri Bidin, 40, yang terpaksa bersara awal daripada perkhidmatan awam akibat masalah kesihatan, belajar membuat tanjak menerusi YouTube setelah keadaannya semakin pulih, kira-kira tiga tahun lalu.
“Pada saya tertarik untuk membuat tanjak sebagai terapi pemulihan selain seni lipatan kainnya seakan-akan menyerupai origami (seni lipatan kertas Jepun) yang diminati sejak kecil.
“Saya teruja apabila mengetahui setiap jenis lipatan kain bagi menghasilkan tanjak memiliki pengertian tersendiri,” katanya di rumahnya di Taman Koperasi, Binjai di sini semalam.
Saiful Bahri berkata, walaupun pada mulanya agak kekok untuk melipat dan membuat simpulan, namun lama-kelamaan semakin mahir sehingga mampu membentuk 12 variasi ikatan tanjak.
Tambah bapa kepada tiga anak itu, dia kini mampu menghasilkan lebih 10 tanjak sehari dan menerima lebih 100 tempahan setiap bulan.
“Niat asal saya menghasilkan tanjak hanya untuk koleksi peribadi, tetapi ramai kenalan berminat dan membuat tempahan.
“Bagi menambah keunikan, tanjak saya hasilkan dengan menggunakan material kain batik bagi menampilkan warisan Terengganu,” katanya.
Ujarnya, tanjak buatannya dijual pada harga RM50 hingga RM150 mengikut saiz dan jenis.
“Tanjak ini boleh dipakai oleh bayi lelaki seawal umur tiga bulan. Pelanggan saya bukan sahaja dari sekitar Semenanjung, malah Sabah, Sarawak dan negara-negara jiran seperti Brunei dan Singapura,” katanya.