PUTRAJAYA – Selepas lebih sedekad, Karnival Putrajaya kemungkinan besar bakal diadakan dengan lebih kerap sepanjang tahun untuk disambut seluruh anggota masyarakat Putrajaya.
Berita gembira itu diumumkan sendiri oleh Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim yang begitu teruja dengan sambutan hebat penduduk Putrajaya terhadap karnival tersebut.
“Insya-Allah, buat permulaan ia mungkin boleh diadakan dua kali setahun sebab kita dapat lihat sendiri kiri dan kanan saya penuh sesak sepanjang hari,” katanya ketika ditemui di sini tadi.
Terdahulu, beliau merasmikan Karnival Putrajaya 2022 dan Kempen Bersih Setiap Tempat (Best) Putrajaya di Dataran Putrajaya hari ini yang sudah pun berlangsung sejak semalam.
Program selama tiga hari itu dianjurkan oleh Perbadanan Putrajaya (PPj) yang turut dihadiri Presidennya, Datuk Fadlun Mak Ujud dengan 55 aktiviti dari pukul 8 pagi sehingga 10 malam.
Sementara Kempen Best pula merupakan program yang berterusan sejak Jun lalu dengan 14 aktiviti sehingga akhir tahun ini bagi memperkasakan lagi tahap kebersihan di Putrajaya.
Mengulas lanjut, Shahidan berkata, Karnival Putrajaya yang mula diperkenalkan sejak 2011 lalu itu asalnya bersempena dengan sambutan Hari Wilayah Persekutuan pada 1 Februari.
“Bagaimanapun, kita (Kementerian Wilayah Persekutuan) berhasrat ia sesuai dibuat dua kali setahun dengan kali kedua dianjurkan bersempena pula sambutan Bulan Kebangsaan,” katanya.
Penganjuran aktiviti berbentuk hiburan kekeluargaan itu ujar beliau, diharap akan dapat menarik juga penduduk luar untuk datang memeriahkan aktiviti dan menikmati panorama Putrajaya.
Justeru, beliau berpendapat, PPj sewajarnya mengadakan lebih banyak acara sedemikian yang dapat ‘menghidupkan’ lagi imej Putrajaya dengan pelbagai aktiviti santai untuk masyarakat. – KOSMO! ONLINE