BANGI – Kontinjen Johor menamatkan temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2022 dengan penuh gilang gemilang apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan edisi ke-20 kali ini.
Johor yang menghantar seramai 526 atlet berjaya membawa pulang 77 pingat emas, 52 perak dan 43 gangsa ketika temasya dwitahunan tersebut melabuhkan tirai secara rasmi hari ini.
Johor memahat sejarah muncul juara keseluruhan buat kali pertama dalam sejarah 36 tahun penganjuran Sukma semenjak ia dipertandingkan pada tahun 1986 di Kuala Lumpur.
Lagenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menyerahkan trofi juara keseluruhan kepada kontinjen Johor yang mengutip 172 pingat keseluruhan.
Lebih manis, dua atlet dari negeri itu turut melakar sejarah apabila dinobatkan sebagai atlet terbaik bagi kategori lelaki dan wanita.
Atlet kanu berusia 21 tahun, Muhammad Fakhrullah Mohd. Rumaize diangkat sebagai atlet terbaik selepas merangkul sembilan emas dengan dua rekod kebangsaan berjaya dipecahkan dalam acara K2 500 meter (m) (1:43.045s) dan K2 1000m (3:35.500s).
Fakhrullah membuktikan kecemerlangannya selepas turut membolot emas dalam acara K1 200m, K2 200m, TBR 100m, TBR 500m, TBR 500m campuran, TBR 200m, TBR 200m campuran.
Trofi atlet lelaki terbaik Sukma 2022 diserahkan sendiri oleh jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang kepada Fakhrullah.
Sementara itu, atlet renang Johor berusia 16 tahun, Tan Rouxin mencipta sensasi apabila digelar ratu kolam renang pada temasya dwitahunan itu apabila menyapu enam emas, satu perak dan satu gangsa.
Meskipun membuat penampilan sulung, Rouxin tidak berdepan masalah apabila mengungguli acara 50m kuak dada, 100m kuak dada, 200m kuak dada, 200m individu medley, 50m kuak lentang dalam aksi yang berlangsung di Pusat Akuatik Nasional Bukit Jalil. – KOSMO! ONLINE