BRUSSELS – Bintang Manchester City, Kevin De Bruyne memainkan watak penting memastikan Belgium mendominasi Wales dengan kemenangan 2-1 pada aksi Liga Negara-Negara Eropah di Stadium King Baudouin awal pagi semalam.
Impak hebat ditunjukkan oleh perancang tengah berusia 31 tahun itu turut menyaksikan dia meledak gol pertama buat Red Devils pada minit ke-10.
De Bruyne sekali lagi memainkan peranannya apabila mencipta umpanan buat penyerang pinjaman Fenerbahce dari Chelsea, Michy Batshuayi menjaringkan gol kedua tuan rumah pada minit ke-38.
Biarpun Wales bangkit merapatkan defisit lima minit selepas babak kedua bermula melalui Kieffer Moore, namun ia tidak membawa sebarang makna kerana Belgium terus mendominasi permainan sehingga tamat.
“Kami berhak sepenuhnya terhadap kemenangan ini. Kami mendominasi aksi babak pertama dengan mencipta begitu banyak peluang menjaringkan gol.
“Saya akui kami bermula perlahan pada awal babak kedua yang membolehkan Wales menjaringkan gol. Namun, kami bangkit dan langsung tidak memberikan ruang kepada mereka,” kata De Bruyne.
De Bruyne ternyata seorang yang bersikap profesional dan menghormati pihak lawan apabila tetap menampilkan aksi terbaik walaupun sebelum perlawanan itu dia mendedahkan berasa bosan kerana terlalu kerap beraksi menentang Wales.
“Saya tidak tahu kenapa tetapi ia terlalu bosan. Saya rasa sudah 12 kali saya bermain dengan pasukan yang sama dan separuh karier antarabangsa saya juga menentang Wales,” jelasnya.
– AGENSI