WARSAW – Belanda semakin hampir untuk melangkah ke separuh akhir Liga Negara-Negara Eropah apabila kekal mengungguli carta Kumpulan A4 berbaki satu lagi perlawanan.
Kejayaan itu hadir menerusi kemenangan 2-0 ke atas Poland pada aksi kelima di Stadium Nasional Warsaw awal pagi semalam.
“Ini adalah satu ujian buat kami dan saya amat berpuas hati melihat respons daripada para pemain dalam perlawanan ini,” kata Ketua Jurulatih Belanda, Louis Van Gaal.
Nada sama turut diluahkan kapten The Oranje, Virgil Van Dijk yang merasakan mereka sememangnya berhak meraih tiga mata berdasarkan keseluruhan prestasi ditampilkan sepanjang 90 minit perlawanan.
Dua gol Belanda dalam aksi itu dijaringkan oleh penyerang PSV yang menjadi buruan Manchester United, Cody Gakpo dan Steven Bergwijn masing-masing pada minit ke-13 serta 60.
Belanda cuma perlu mengelak daripada tewas di tangan pasukan tempat kedua, Belgium dalam aksi terakhir Kumpulan A4 di Amsterdam Arena awal pagi Isnin ini bagi mengesahkan tempat ke separuh akhir.
Belanda pernah menewaskan Belgium dengan keputusan selesa 4-1 ketika kali terakhir bertemu menerusi dua jaringan Memphis Depay selain satu daripada Bergwijn dan Denzel Dumfries pada Jun lalu.
Poland juga berdepan situasi sama kerana perlu mengelak kekalahan kepada Wales di Cardiff awal pagi Isnin ini jika mahu terus beraksi dalam saingan Kumpulan A. – AGENSI