KUALA LUMPUR – Dua emas yang diraih di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil hari ini memastikan Wilayah Persekutuan muncul sebagai juara keseluruhan dalam acara renang pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) sejak 2010.
Dalam edisi Sukma 2022 kali ini, Wilayah Persekutuan merangkul 11 pingat emas, 11 perak dan tiga gangsa bagi menewaskan Selangor yang berpuas hati di tempat kedua dengan sembilan emas, 10 perak dan 11 gangsa.
Bryan Leong dan Sebastian Soon menjadi wira Wilayah Persekutuan pada hari terakhir acara renang hari ini apabila masing-masing memenangi acara 50 meter (m) gaya bebas serta 1500m lelaki.
Bryan yang memenangi lima pingat emas pada edisi kali ini mengakui puas dengan pencapaian pasukan itu yang kembali mengungguli saingan di kolam renang selepas 12 tahun menanti.
“Saya tidak mampu untuk memperbaiki catatan terbaik peribadi (PB) hari ini, mungkin kerana badan sudah penat selepas beberapa hari menyertai kejohanan. Bagaimanapun, aya tetap gembira kerana dapat hadiahkan satu lagi emas.
“Menjejakkan kaki ke Sukma, memang sasaran utama adalah untuk tampilkan aksi terbaik dan bantu Wilayah Persekutuan menjadi juara dalam acara renang. Saya gembira kerana kami dapat lakukannya,” katanya selepas upacara penyampaian pingat.
Ketua jurulatih skuad renang Wilayah Persekutuan, Shazali Salleh percaya anak-anak buahnya mempunyai masa depan cukup cerah berdasarkan prestasi yang dipamerkan sepanjang temasya kali ini.
“Selepas Covid-19, banyak perkara berubah kerana kurang latihan selain tidak banyak kejohanan dalam tempoh dua tahun. Sekarang anda semua boleh lihat ramai perenang muda yang muncul.
Kebanyakan mereka masih boleh beraksi pada Sukma 2024 dan kami mahu teruskan momentum ini dan mempertahankan kejuaraan ini. Kejayaan kali ini mengembalikan memori kami ketika menang pada 2010,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE
KEPUTUSAN ACARA AKHIR RENANG SUKMA 2022
1500m gaya bebas lelaki
Emas – Sebastian Soon (Wilayah Persekutuan) – 15:39.63s
Perak – Tan Khai Xin (Wilayah Persekutuan) – 16:05.90s
Gangsa – Low Zheng Yong (Melaka) – 16:07.70s
100m kuak lentang wanita
Emas – Rouxin Tan (Johor) – 1:05.19s
Perak – Chong Xin Lin (Wilayah Persekutuan) – 1:05.55s
Gangsa – Kelly Teo Yao (Sarawak) – 1:07.41s
100m kuak lentang lelaki
Emas – Hii Puong Wei (Sarawak) – 58.83s
Perak – Terence Ng (Selangor) – 59.49s
Gangsa – Jordan Yip (Selangor) – 59.75s
50m gaya bebas wanita
Emas – Loo Yie Bing (Sabah) – 26.77s
Perak – Leong Wan Mei (Sarawak) & Yap Inn She (Wilayah Persekutuan) – 27.56s
50m gaya bebas lelaki
Emas – Bryan Leong (Wilayah Persekutuan) – 23.24s
Perak – Tong Yu Jing (Pulau Pinang) – 23.35s
Gangsa – Chris Chew (Pulau Pinang) – 23.41s
4x100m rampaian wanita
Emas – Selangor – 4:27.21s
Perak – Wilayah Persekutuan – 4:28.52s
Gangsa – Johor – 4:29.26s
4x100m rampaian lelaki
Emas – Selangor – 3:48.59s
Perak – Wilayah Persekutuan – 3:50.51s
Gangsa – Sarawak – 3:54.22s
- KOSMO! ONLINE